Tiada cadangan pinda Perlembagaan untuk bukan Melayu jadi PM

BANGI – Tiada sebarang cadangan untuk meminda Perlembangaan Persekutuan bagi membolehkan bukan Melayu dilantik ke jawatan Perdana Menteri.

Perkara itu ditegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut Perdana Menteri, peruntukan Perlembagaan berhubung pelantikan Perdana Menteri adalah kekal termasuk jika Malaysia diperintah pembangkang.

“Setakat ini tidak ada keperluan untuk pinda Perlembagaan Persekutuan sejak merdeka sampai sekarang di mana calon PM adalah Melayu.

“Buat masa ini calon PM masih Melayu sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang,” katanya kepada media selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Seksyen 4 Bandar Baru Bangi, hari ini.

Perdana Menteri menunaikan solat Jumaat bersama-sama kira-kira 2,000 jemaah yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan seperti mana kenyataan Ketua Pemuda Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mencadangkan Anwar meminda Perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.

Kenyataan itu dikeluarkan Wan Ahmad Fayhsal sebagai reaksi kepada veteran DAP Lim Kit Siang yang menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri.

Kit Siang sebelum ini disiasat berhubung kandungan penulisan Kit Siang  yang dimuat naik dalam blognya, limkitsiang.com pada 30 November lalu yang menyentuh isu Perlembagaan berhubung pelantikan Perdana Menteri Malaysia.

Penulisan yang disiasat bertajuk ‘Malaysian Constitution Provides For a Malaysian Dream And Not a Mono-Ethnic Dream As It Provides That a Non-Malay Can Be a Prime Minister’ (Perlembagaan Malaysia menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan Perlembagaan ini tidak menghalang seorang bukan Melayu daripada menjadi seorang Perdana Menteri). – MGPerak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI