IPOH – Tiada sebarang kesan penderaan dikesan ke atas empat beradik yang ditinggalkan di hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah, pada Khamis lalu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ia diterima daripada hasil laporan pakar kesihatan kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun, dekat sini.
“Setakat ini masih belum ada mana-mana pihak dalam kalangan keluarga mereka yang tampil untuk membantu siasatan berhubung perkara ini. Dan kanak-kanak ini masih ditempatkan di hospital untuk tindakan lanjut.
“Namun pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang dalam usaha mendapatkan perintah mahkamah untuk menempat mereka di bawah institusi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim.
Dalam pada itu Salbiah berkata, pihaknya masih dalam usaha untuk mengenal pasti waris kepada empat kanak-kanak malang itu termasuk daripada individu yang dikatakan sebagai nenek.
“Mungkin ada masalah-masalah tertentu yang menyebabkan mereka belum tampil. Namun apa pun, kita sedang menunggu (ahli keluarga tampil) bagi membolehkan siasatan dilanjutkan,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan empat beradik berusia antara 10 bulan hingga 11 tahun ditinggalkan hadapan Kompleks Pentadbiran Perak Tengah di Kampung Gajah, pada Khamis lalu.
Mereka ditinggalkan di oleh seorang wanita tidak dikenali di di pondok pengawal kompleks berkenaan sekitar jam 10.50 pagi.
Dalam perkembangan berasingan, Salbiah memberitahu pihaknya masih lagi dalam usaha mengesan ibu bapa kepada seorang bayi lelaki yang ditemukan dalam sebuah beg di tepi longkang di Ayer Tawar, Manjung pada kelmarin. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ibu bapa empat beradik ditinggalkan sedang dikesan
Bayi lelaki ditemui di dalam beg di tepi longkang