‘Tidak sempat beritahu ayah, saya akan berkahwin’

PARIT BUNTAR – Anak sulung kepada pemandu van pekerja, Ahmad Termizi Ramli, 45, yang meninggal dunia selepas tersepit di dalam van yang terbakar di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pagi tadi seakan-akan tidak percaya kejadian yang menimpa insan tersayangnya itu.

Nurul Ain Ahmad Termizi, 22, berkata lebih terkilan apabila dia tidak berkesempatan untuk memberitahu pada hari jadi bapanya 31 Disember ini bahawa dia bercadang untuk melangsungkan perkahwinan pada tahun hadapan.

“Hujung November lalu saya ada memaklumkan kepada ayah melalui aplikasi WhatsApp bahawa saya mahu berjumpa dan ingin memberitahu dia sesuatu pada hujung Disember ini.

“Saya nak beritahu dia yang saya merancang untuk berkahwin pada Oktober tahun depan. Nampaknya saya tak sempat beritahu dia,” katanya dengan sebak.

Nurul Ain berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Parit Buntar dekat sini, pada Sabtu.

Ahmad Termizi meninggal dunia selepas tersepit di dalam van yang terbakar susulan kenderaanya dirempuh sebuah lori dengan muatan makanan kering di lorong kecemasan di kilometer (km) 198.1 Lebuhraya PLUS arah utara, pagi tadi.

Ujar Nurul Ain lagi, dia seolah-olah berasa kosong sebaik menerima perkhabaran duka itu daripada ahli keluarga.

“Saya berasa sangat sedih kerana sudah lama tak berjumpa dengan ayah sebab saya tinggal dan bekerja di Pulau Pinang,” katanya lagi.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Norhana Osman, 41, memberitahu, sebelum suaminya keluar bekerja dia ada memaklumkan bahawa dia berasa kurang sihat.

Norhana berkata, disebabkan itu dia ada menasihatkan Ahmad Termizi untuk tidak bekerja, namun suaminya itu tetap mahu keluar mencari rezeki buat menampung keluarga.

“Saya katakan kepada dia kalau tidak sihat tidak perlu pergi kerja, tetapi dia kata tiada orang yang dapat gantikan giliranya bekerja. Saya reda dengan pemergian dia,” katanya dengan nada sebak.

Selain itu, Norhana memberitahu, Ahmad Termizi sudah lebih 20 tahun berkhidmat di Syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (PROPEL).

Hasil perkahwinan selama 12 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata yang kini berusia 22, 19 dan 18 tahun.

Jenazah Ahmad Termizi selamat dikemubikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang, Taiping, petang tadi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pemandu van rentung, dirempuh lori ketika menunggu pekerja

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI