Pemandu van rentung, dirempuh lori ketika menunggu pekerja

PARIT BUNTAR – Sebuah lori hilang kawalan sebelum merempuh sebuah van sehingga mengakibatkan ia terbakar pada kilometer (km) 198.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), di sini, pada Sabtu.

Nahas itu turut mengakibatkan pemandu van yang berusia 45 tahun meninggal dunia akibat terperangkap di dalam kenderaan yang berhenti lorong kecemasan itu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 8.50 pagi.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lori berkenaan datang dari arah Kuala Kangsar menghala ke Pulau Pinang.

Menurutnya, ketika di tempat kejadian, lori yang dipandu seorang lelaki dewasa itu telah hilang kawalan dan terbabas ke lorong kecemasan sebelum merempuh sebuah van di situ.

“Van itu dipandu seorang lelaki yang diletakkan di lorong kecemasan untuk menunggu pekerja penyelenggaraan jalan membuat kerja pemotongan rumput.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa yang juga pemandu van yang berada di lorong kecemasan terperangkap di dalam kenderaan dan kenderaan tersebut hangus terbakar.

“Mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lelaki lain iaitu pemandu dan kelindan lori mengalami cedera akibat melecur pada sebahagian anggota badan dan luka di kepala,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Polis Kerian Inspektor Marzuki Mat di talian 05-7210539 atau 013-9116222.

“Pihak polis juga menasihatkan semua pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa memandu dan mematuhi segala peraturan jalan raya,” ujar beliau lagi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Seorang rentung, dua cedera dalam kemalangan antara van dan lori

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI