Tiga rentung, kereta rempuh lori sampah

IPOH – Tiga mayat ditemukan rentung dalam kejadian kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Proton Perdana yang didakwa merempuh lori sampah sekitar kawasan perindustrian Bercham, di sini sekitar jam 8 malam pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian kebakaran kereta pada jam 8.05 malam sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, anggota dan jentera BBP Ipoh tiba sembilan minit kemudian di lokasi kejadian dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Perdana terbakar akibat merempuh bahagian hadapan lori sampah.

“Kereta berkenaan dianggarkan musnah terbakar 90 peratus, manakala lori sampah terbabit pula terbakar sekitar 50 peratus melibatkan bahagian kepala lori.

“Ketua operasi memaklumkan bantuan kren digunakan untuk mengalihkan lori sampah berkenaan dan setelah dialihkan pasukan penyelamat mendapati terdapat tiga mangsa yang telah rentung di dalam kereta tersebut, namun identiti mangsa tidak dapat dikenalpasti” katanya.

Beliau berkata, anggota bomba kemudiannya bertindak memadamkan kebakaran menggunakan dua aliran ‘hose reel’ air tangki jentera sehingga api padam sepenuhnya.

Tambah beliau lagi, BBP Ipoh turut menerima bantuan daripada BBP Tambun serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bercham dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.35 malam. -MG Perak.

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI