Tiga lelaki termasuk dua beradik rentung dalam kemalangan

IPOH – Tiga lelaki termasuk dua beradik rentung selepas kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori sampah sebelum terbakar di Jalan Bercham, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan itu pada jam 8.28 malam.

Menurutnya, hasil siasatan awal di lokasi mendapati, kereta Proton Perdana yang dinaiki tiga mangsa itu datang dari arah Tanjung Rambutan sebelum hilang kawalan dan merempuh sebuah lori sampah yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat daripada pelanggaran itu, kereta Proton Perdana tersebut tersepit di bawah lori sampah berkenaan sebelum terbakar.

“Pemandu kereta merupakan seorang lelaki berusia 20 tahun, bersama dua penumpang lelaki yang merupakan adik dan sepupunya, masing-masing berumur 16 tahun disahkan meninggal di tempat kejadian.

“Manakala pemandu lori sampah dan empat kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau waris mangsa telah dikenal pasti dan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini bagi mengenal pasti identiti mangsa.

Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain meminta agar saksi kejadian tampil membantu siasatan polis.

“Pihak polis meminta kepada saksi yang telah menyaksikan kejadian tersebut supaya berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, DSP Koo Boon Kuat, di talian 016-4173222 untuk membantu siasatan.

“Polis Ipoh ingin menasihatkan orang ramai agar ambil tahu, berhati-hati dan peka dengan keadaan persekitaran jalan, terutama semasa cuaca buruk dan tidak menentu, bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiga rentung, kereta rempuh lori sampah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI