Tiga saudara rentung, baru lepas hantar makanan ke rumah nenek

IPOH – Tiga saudara lelaki yang ditemukan rentung dalam kemalangan melibatkan kereta jenis Proton Perdana dengan lori sampah di Jalan Bercham di sini, pada malam Isnin dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan ke rumah nenek mereka di Taman Perpaduan.

Mangsa, M. Krishna, 20 dan adik lelakinya Pavilesh, 16, bersama sepupu mereka N.K. Subash Varman, 16 dikatakan dalam perjalanan pulang sebelum terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa ke semua mereka.

M. Manimaran, 50 yang merupakan bapa kepada Krishna dan Pavilesh berkata, kejadian yang menimpa dua anak lelaki bersama seorang anak saudaranya itu merupakan tamparan hebat buat keluarga mereka kerana kehilangan tiga ahli keluarga sekali gus selepas kehilangan adik lelakinya dalam kemalangan pada April lalu.

Beliau yang kelihatan sugul ditenangkan ahli keluarga terdekat ketika menanti mayat anak-anak lelakinya di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Menurut Manimaran, kali terakhir beliau melihat anaknya itu ketika mereka memaklumkan ingin ke rumah ibunya yang juga nenek kepada tiga bersaudara itu untuk menghantar makanan yang dimasakan isterinya.

Tiga saudara rentung, baru lepas hantar makanan ke rumah nenek
M Manimaran 50, menunjukkan gambar anaknya M. Krishna, 20, dan Pavilesh, 16, yang terbabit dalam kemalangan selepas kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori sampah sebelum terbakar di Jalan Bercham di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 NOVEMBER 2023.

“Saya ada menelefon emak saya memaklumkan tidak perlu memasak kerana isteri sudah masak beberapa jenis makanan antaranya kuah dal untuk dia dan anak saya akan pergi menghantarnya.

“Ini kerana anak sulung saya Krishna merupakan cucu pertama kepada emak saya dan mereka sangat rapat sebab emak saya menjaganya dari kecil lagi dan kini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB pada Selasa.

Mengulas lanjut Manimaran berkata, beliau mula berasa tidak sedap hati selepas gagal menghubungi kedua- dua anak lelakinya sekitar jam 7 malam semalam sehingga jam 10 malam.

“Kali terakhir saya telefon mereka pada jam 6 petang dan masa itu mereka beritahu sudah menghantar makanan ke rumah nenek mereka dan saya sekali lagi menelefon mereka pada jam 7 malam namun tidak dapat.

“Sehinggalah jam 10 malam mereka masih tidak dapat dihubungi, lalu saya ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan polis dan kemudian saya pulang semula ke rumah.

“Tidak sampai 15 minit pulang ke rumah saya lihat ada kereta polis memasuki kawasan rumah saya dan memaklumkan bahawa anak-anak saya terlibat dalam kemalangan melalui nombor kenderaan serta kad pengenalan anak bongsu yang tidak terbakar,” katanya.

Terdahulu, MG Perak melaporkan tiga saudara lelaki termasuk dua beradik rentung selepas kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori sampah sebelum terbakar di Jalan Bercham.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan itu pada jam 8.28 malam.

Menurutnya, hasil siasatan awal di lokasi mendapati, kereta Proton Perdana yang dinaiki tiga mangsa itu datang dari arah Tanjung Rambutan sebelum hilang kawalan dan merempuh sebuah lori sampah yang datang dari arah bertentangan. -MG Perak

Artikel Berkaitan: 

Tiga lelaki termasuk dua beradik rentung dalam kemalangan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI