Umat Islam harus faham pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah – Mufti Perak

IPOH – Pemilihan tema bagi Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi tahun ini iaitu ‘Memperkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah Sebagai Al Firqah Al Najiah’ disifatkan sebagai bertepatan dengan situasi umat Islam masa kini. 

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata umat Islam seharusnya benar-benar memahami pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam berhadapan dengan era lambakan maklumat yang tiada batasan. 

“Pemilihan tajuk ini sangat bertepatan dengan situasi umat Islam hari ini agar dapat terus kukuh berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai satu-satu Al-Firqah Al-Najiah iaitu golongan yang terselamat dunia dan akhirat. 

“Memahami dengan benar dan mengikuti manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan satu kemestian bagi umat Islam terutama dalam menjalani kehidupan dunia pada zaman ini dengan pelbagai lambakan maklumat dan ideologi melalui sumber maklumat yang tidak terbatas,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, di sini pada Rabu. 

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim terdahulu berkenan berangkat pada majlis. 

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Exco Perak yang mewakili Menteri Besar, Khairudin Abu Hanipah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid serta Mufti Negara Singapura, Dr Naziruddin Mohd Nasir. 

Selain itu, Wan Zahidi berkata muzakarah yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu menghimpunkan 12 pembentangan yang terdiri daripada tokoh-tokoh ilmuan tempatan dan luar negara termasuk dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Jordan.

“Muzakarah kali ini menerima penyertaan yang sangat menggalakkan, dari dalam dan luar negara.

“Seramai hampir 400 orang peserta yang disasarkan telah dapat dicapai terdiri dari mufti-mufti, jabatan-jabatan kerajaan, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi. 

“Muzakarah kali ini juga mendapat penyertaan peserta dari Indonesia, Thailand, Kemboja dan Singapura,” katanya lagi. 

BACA SETERUSNYA:

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI