LUMUT – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd. (Vale) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi melaksanakan projek naik taraf infrastruktur awam di daerah Manjung yang melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM8 juta.
Kerjasama menerusi usaha Pelan Pembangunan Komuniti (CDP) 3.0 Vale yang terjalin untuk tempoh lima tahun sehingga pada tahun 2030 itu memberi tumpuan di lima lokasi iaitu Manjung Lama, Beruas, Teluk Batik dan Stadium MPM.
Empat komponen program yang digariskan di bawah usaha berkenaan meliputi Pemerkasaan warisan kulinari dan budaya, Pemeliharaan warisan dan identiti tempatan, Memperkukuh daya tarikan ekopelancongan serta Inisiatif kecergasan dan gaya hidup aktif.

Majlis pertukaran MoU berkenaan disempurnakan antara Ketua Pegawai Eksekutif Vale, Edwin Gerard bersama Yang Dipertua MPM, Muhammad Faizal Shah Safian Suri di Dewan Anjung Perdana, bangunan MPM, di sini, pada Rabu.
Majlis tersebut disaksikan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
Pada majlis turut berlangsung penyerahan tiga projek yang disiapkan Vale kepada MPM iaitu Laman Memori Beruas, Dataran Gangga Negara serta Dataran Doodle Art di Manjung Lama.

Vale merupakan salah satu syarikat perlombongan terbesar di dunia dan pengendali operasi hab pengedaran bijih besi di Teluk Rubiah, Manjung.
Pada sidang media selepas majlis, Shy Ching berkata, usaha yang dilaksanakan antara dua pihak menerusi kerjasama yang dijalinkan dilihat mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada pembangunan kawasan malah komuniti setempat.
“Saya yakin kerjasama yang dimeterai ini akan membuka lebih banyak ruang kepada pelaksanaan inisiatif dalam bidang pembangunan komuniti, pendidikan, pembangunan belia, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
“Lebih penting, kerjasama seperti ini turut menyokong aspirasi menjadikan Manjung sebagai sebuah bandar raya pelancongan dan maritim yang progresif, mampan serta berdaya saing,” katanya.
Pada masa sama beliau turut berharap agar kerjasama antara pihak swasta dan badan kerajaan seperti yang dilaksanakan ini dapat menjadi model kepada pihak lain untuk turut menggerakkan usaha sama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
Jelas beliau, pembangunan yang mampan memerlukan penglibatan semua pihak yang mana hasilnya bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi, malah meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
“Kejayaan sesebuah daerah tidak hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut ditentukan oleh semangat kebersamaan, kepercayaan dan perkongsian strategik antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
“Saya percaya, apabila semua pihak bergerak seiring, lebih banyak manfaat dapat dinikmati oleh rakyat dan lebih banyak peluang dapat diwujudkan untuk generasi akan datang,” ujarnya.

Terdahulu Edwin dalam ucapannya pada majlis berkata, MoU yang dimeterai berkenaan adalah susulan kejayaan CDP 2.0 sebelum ini yang melibatkan kerjasama dengan MPM antara tahun 2023 hingga 2025 dengan nilai pelaburan kira-kira RM5 juta.
Jelas beliau, tiga projek yang telah diisiapkan sebelum ini bukan sahaja menumpukan kepada penambahbaikan kemudahan awam, malah mewujudkan ruang untuk interaksi sosial, aktiviti komuniti serta penghayatan terhadap sejarah dan budaya tempatan.
“Kerjasama strategik ini mencerminkan usaha berterusan untuk mentransformasikan ruang awam dan lokasi bernilai dalam komuniti menjadi aset yang lebih hidup, dinamik dan bermakna.
“Melalui pendekatan peremajaan bandar, pemeliharaan warisan serta pembangunan ekopelancongan, inisiatif ini akan memperkukuh identiti unik Manjung sebagai sebuah daerah yang lebih berdaya huni, menarik dan berdaya saing,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Vale peruntuk RM5.6 juta bangunkan Manjung sebagai bandar lestari


