IPOH – Seorang wanita berusia 20 tahun ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta yang terkunci di parkir berhadapan Klinik Pakar Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 6.07 petang.
Katanya, sejurus selepas itu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan BBP Meru diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Pasukan penyelamat yang tiba di lokasi mendapati wanita berkenaan berada pada kerusi belakang dalam sebuah kereta yang terkunci.
“Wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, sebelum itu pasukan penyelamat telah membuka pintu kereta berkenaan dengan peralatan khas.
Sabarodzi berkata, mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pihak KKM sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Maklumat lanjut berhubung kejadian itu masih dalam siasatan pihak polis,” ujarnya lagi.
Operasi yang diketuai Komander Operasi Bakri Manaf itu tamat pada jam 6.53 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mercedes rempuh Proton Saga punca kemalangan maut bapa, bayi 11 bulan – Polis
[…] Wanita ditemukan maut dalam kereta berkunci di parkir HRPB […]