TAIPING – West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) menyumbang RM10,000 bagi menampung kos pemeliharaan dan operasi penjagaan seekor seladang jantan di Zoo Taiping & Night Safari selama setahun.
WCE menerusi Program Anak Angkat Seladang itu memilih seladang jantan bernama Bima di seiring dengan usaha serta komitmen berterusan WCE terhadap pemuliharaan biodiversiti.
Pengarah Urusannya, Lyndon Alfred Felix berkata, pemilihan seladang bukanlah sesuatu yang dibuat secara kebetulan, sebaliknya haiwan itu telah dijadikan maskot rasmi syarikat sejak projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dimulakan.
Menurut beliau, mamalia darat kedua terbesar di Malaysia dan merupakan ikon rasmi serta simbol kekuatan Negeri Perak itu dipilih kerana melambangkan nilai-nilai ingin diterapkan dalam budaya kerja warga WCE.
“Apabila kami memulakan pembinaan WCE, kami memilih seladang sebagai maskot rasmi kerana haiwan ini mempunyai ciri-ciri yang melambangkan ketabahan, kekuatan dan kegagahan.
“Kami mahu nilai-nilai tersebut menjadi sebahagian daripada budaya kerja di WCE. Selain itu, memandangkan WCE menghubungkan Perak, kami juga mahu menggunakan satu simbol ikonik yang dapat mencerminkan identiti kami di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan CSR ‘We Care’ Zoo Taiping & Night Safari di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan.
Di bawah inisiatif ‘We Care’, WCE turut menghasilkan mural bertemakan jajaran Lebuhraya WCE sebagai simbolik kolaborasi bersama Zoo Taiping serta membina Taman Poket WCE bagi mengindahkan kawasan sekitar dan memberi keselesaan kepada pengunjung.
Alfred Felix berkata, selain menyokong usaha konservasi melalui Zoo Taiping, WCE turut mengintegrasikan elemen pemuliharaan biodiversiti dalam pembangunan lebuh rayanya.
Katanya, di jajaran Seksyen 11 Lebuhraya WCE yang merentasi Hutan Simpan Gunung Bubu, pihaknya telah membina laluan khas hidupan liar atau Animal Box Culverts (ABC).
“Ini bagi membolehkan haiwan bergerak dengan lebih selamat merentasi lebuh raya tanpa menjejaskan habitat semula jadi mereka,” katanya.
Beliau berkata, program itu turut mencerminkan komitmen WCE dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) seiring pembangunan lebuh raya yang bukan sahaja menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, malah memberi perhatian terhadap kebajikan komuniti serta pemuliharaan alam sekitar. -MG


