KUALA LUMPUR – Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan insentif kewangan kepada anak-anak yang membeli kediaman berhampiran ibu bapa mereka.
Ketua Penyelarasnya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, ia sebagai langkah memperkukuh kebajikan dan perlindungan golongan warga emas di negara ini.
“REACH yakin program itu dapat membantu memperkukuh institusi keluarga, memudahkan anak-anak menjaga kebajikan serta keperluan ibu bapa yang lanjut usia.
“Ia juga berupaya mengurangkan risiko warga emas terabai atau hidup bersendirian tanpa sokongan keluarga.
“Betapa pentingnya peranan anak-anak untuk memastikan kebajikan warga emas terpelihara,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Iskandar berkata, cadangan itu timbul susulan perkembangan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“RUU ini difahamkan sudah siap dirangka dan dijangka dibentangkan ke Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya.
Menurut beliau, usaha kerajaan menerusi kementerian di bawah pimpinan Datuk Seri Nancy Shukri itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh perlindungan, kebajikan serta kesejahteraan warga emas di Malaysia.
“REACH berpandangan bahawa aspek perlindungan dan kebajikan warga emas perlu diberikan keutamaan, justeru kami menyokong sebarang RUU yang menjurus ke arah matlamat tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa peranan anak-anak amat penting bagi memastikan kebajikan ibu bapa yang telah lanjut usia sentiasa terpelihara.
Sehubungan itu, REACH mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan insentif khas kepada anak-anak yang membeli rumah berhampiran kediaman ibu bapa mereka, termasuk kemungkinan pemberian galakan lebih tinggi kepada mereka yang tinggal serumah bersama ibu bapa.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian telah dilaksanakan di Singapura menerusi program Proximity Housing Grant (PHG) di bawah Housing Development Board (HDB).
“Di Singapura, pembeli rumah yang tinggal kurang empat kilometer dari ibu bapa mereka layak menerima insentif sehingga S$20,000, manakala mereka yang tinggal bersama ibu bapa menerima sehingga S$30,000,” katanya.
Tambah beliau, program tersebut melibatkan pembelian kediaman sedia ada atau resale, bukannya rumah baharu.
“Model serupa boleh disesuai dan dilaksanakan di Malaysia dengan kadar insentif serta jarak tertentu mengikut kesesuaian keadaan tempatan dan kemampuan kerajaan.
“REACH percaya langkah itu bukan sahaja mampu memperkukuh institusi kekeluargaan, malah memudahkan anak-anak memantau kesihatan, keselamatan dan keperluan harian ibu bapa mereka,” katanya.
Selain itu, cadangan berkenaan juga diyakini dapat mengurangkan risiko warga emas terabai atau hidup bersendirian tanpa sokongan keluarga.
“Langkah ini berpotensi mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin, penyayang dan bertanggungjawab terhadap golongan warga emas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


