IPOH – Majlis Nikah Jamaie Syarie yang diperkenalkan di Masjid Negeri Perak (Masjid Sultan Idris Shah II) sejak tahun 2013 terus mencipta impak positif apabila berjaya membantu pasangan Islam melangsungkan pernikahan secara sah mengikut hukum syarak pada kos yang berpatutan.
Imam Besarnya, Abd Farid Salleh berkata, program berkenaan kini menjadi antara program ikonik masjid dan telah memberi manfaat kepada ramai pasangan, khususnya golongan berpendapatan rendah, selain memudahkan urusan perkahwinan mereka.
Menurutnya, sepanjang tujuh kali penganjurannya program itu telah berjaya menikahkan 137 pasangan.
“Program ini bukan sekadar membantu mengurangkan beban kos perkahwinan, malah turut memperkukuhkan institusi kekeluargaan Islam, mengimarahkan masjid serta mempromosikan konsep perkahwinan patuh syariah yang sederhana, berhemah dan menepati tuntutan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung penganjuran Majlis Nikah Jamaie Syarie kali kelapan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abd Farid memaklumkan bahawa pada tahun 2014, program itu berjaya menarik penyertaan daripada golongan mualaf dan masyarakat Orang Asli.
“Ini membuktikan ia turut mendapat penerimaan meluas terhadap konsep perkahwinan yang lebih mudah, tersusun dan mematuhi syariat.
“Berdasarkan sambutan yang diterima sejak diperkenalkan, kami berharap penganjuran kali kelapan ini akan terus memperkasakan institusi keluarga Islam serta menjadikan masjid ini sebagai model penganjuran perkahwinan patuh syariah di Perak,” ujarnya.
Katanya, bagi edisi kali ini, penyertaan dibuka kepada 30 pasangan sahaja dengan yuran sebanyak RM4,000 bagi setiap pasangan.
“Antara syarat penyertaan ialah seorang atau kedua-dua bakal pengantin mestilah warganegara Malaysia yang berasal atau bermastautin di Perak, beragama Islam, berumur sekurang-kurangnya 18 tahun atau memenuhi syarat umur yang ditetapkan undang-undang keluarga Islam.
“Selain itu, ia adalah perkahwinan pertama bagi salah seorang atau kedua-dua pasangan dan bukan melibatkan poligami.
“Peserta juga perlu memperoleh kebenaran berkahwin daripada Jabatan Agama Islam yang berkaitan, mengemukakan dokumen lengkap sebelum tarikh tutup pendaftaran serta bersetuju mematuhi semua syarat yang ditetapkan penganjur.
“Setiap pasangan yang menyertai program tersebut akan menerima pelbagai kemudahan termasuk pengurusan permohonan melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM), upah jurunikah, kad dan sijil nikah berbingkai.
“Di samping itu, pakej tersebut turut menyediakan santapan beradab, jamuan untuk tetamu, set pelamin, bunga pahar, penginapan hotel selama satu malam berserta makan malam, perkhidmatan jurugambar rasmi serta album foto perkahwinan,” jelasnya.
Abd Farid berkata, majlis tersebut dijadualkan berlangsung di masjid tersebut pada Sabtu, 26 Disember ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
14 pasangan sertai Nikah Jamaie Syarie di Perak


