14 rumah ibadat di gua batu kapur belum diwartakan – Exco Perak

IPOH – Sebanyak 14 rumah ibadat bukan Islam yang dibina di kawasan gua batu kapur di Perak dikenal pasti masih belum memperoleh sebarang kelulusan atau pewartaan daripada kerajaan negeri.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, pihaknya sedang meneliti permohonan yang dikemukakan pemilik-pemilik rumah ibadat itu termasuk dari aspek keselamatan sebelum ia diluluskan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Gua Batu Kapur Perak berkata, mana-mana pihak tidak dibenarkan untuk membina rumah ibadat di kawasan batu kapur tanpa sebarang kelulusan atau kebenaran daripada pihak berkuasa negeri.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi negeri Perak, A. Sivanesan melawat pameran pada pada Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Gunung Cheroh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 OKTOBER 2023

“Ada 14 rumah ibadat bukan Islam di gua batu kapur yang belum mempunyai kelulusan, dan kita masih dalam proses untuk meluluskannya. Namun, ketika ini kita masih lagi menunggu laporan berkenaan hal keselamatan gua batu kapur itu sebelum ia mendapat kelulusan.

“Bagi rumah ibadat yang lain, mereka tidak dibenarkan untuk membuka atau membina mana-mana struktur rumah ibadat selagi tidak memperoleh sebarang kelulusan daripada jawatankuasa kita.

“Perkara ini bagi memastikan semua rumah ibadat yang berada di kawasan gua batu kapur ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang baik dan pembinaanya sentiasa terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Kawasan Lapang Gunung Cheroh di Jalan Raja Musa Aziz dekat sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelidikan dan Pengembahan Arkib Negara, Mokhtaruddin Lamsin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, M.Thulsi Thivani.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi negeri Perak, A. Sivanesan berucap pada pada Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Gunung Cheroh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 OKTOBER 2023

Pada 18 Oktober 1973, berlaku runtuhan bongkah batu kapur di Gunung Cheroh sehingga meragut 40 nyawa yang tinggal di sekitar kaki gunung berkenaan.

Susulan tragedi hitam pada seminggu sebelum sambutan perayaan Deepavali itu, kerajaan negeri memutuskan untuk menempatkan semula kesemua penduduk di situ ke sebuah penempatan baharu yang kini dikenali sebagai Kampung Kacang Puteh di Buntong.

Orang ramai melawat pameran pada Majlis Pengkisahan Sejarah Runtuhan Gunung Cheroh 50 Tahun Dalam Ingatan di Gunung Cheroh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 OKTOBER 2023

Dalam pada itu, Sivanesan berkata kerajaan negeri sedang dalam perancang untuk membina tugu peringatan di lokasi runtuhan gua batu kapur itu yang kini terletak berhampiran dengan Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar.

Katanya tugu peringatan yang bakal dibina bersama dengan galeri mini itu bertujuan untuk memelihara kawasan berkenaan selain memberi pendedahan kepada orang ramai berkenaan tragedi yang berlaku 50 tahun lalu itu.

“Kerajaan negeri akan menanggung pembinaan tugu peringatan itu yang dianggarkan bernilai RM40,000, dan kerja-kerja pembinaanya akan dijalankan dalam tempoh segera,” jelasnya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI