Wanita UMNO tak boleh lagi dilihat hanya `tulang belakang’ parti semata-mata – Nurulhidayah

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya Wanita UMNO bukan sahaja menjadi tulang belakang parti, tetapi juga menjadi wajah, suara dan penggerak utama yang dikenali, dihormati dan diyakini oleh masyarakat.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, Wanita UMNO tidak boleh lagi hanya dilihat sebagai “tulang belakang” parti semata-mata.

Sebaliknya, ujar beliau, Wanita UMNO perlu tampil ke hadapan sebagai wajah, suara dan naratif perjuangan parti.

“Sudah tiba masanya setiap pemimpin dan ahli Wanita UMNO menjadi individu yang dikenali oleh masyarakat, bukan kerana populariti, tetapi kerana kerja dan sumbangan yang telah lama mereka lakukan,” katanya menerusi Facebook.

Tambah beliau, sebagai jentera parti yang sentiasa menjadi nadi kekuatan UMNO di peringkat akar umbi, Wanita UMNO mempunyai rekod panjang dalam mendekati rakyat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, pendidikan dan khidmat masyarakat.

Namun, ujar Nurulhidayah, landskap politik hari ini telah berubah yang mana gerak kerja di lapangan sahaja tidak lagi mencukupi jika ia tidak disokong oleh kehadiran yang kuat di platform digital.

Sehubungan itu, ujarnya, Wanita UMNO perlu berani menguasai platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan Threads untuk berkongsi aktiviti, pandangan, pengalaman serta usaha membantu rakyat.

Tambahnya, media sosial bukan sekadar tempat berkempen ketika pilihan raya, tetapi ruang untuk membina kepercayaan, memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat dan mendekati generasi muda.

“PRN Johor dan Negeri Sembilan bukan sekadar ujian kekuatan jentera, tetapi juga ujian keupayaan kita menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

“Wanita UMNO mempunyai kekuatan akar umbi yang sangat besar. Kini, kekuatan itu perlu diterjemahkan ke dalam dunia digital agar suara dan kerja kita dapat sampai kepada lebih ramai rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI