500 atlet ketidakupayaan intelektual sertai Kejohanan Olahraga Special Olympics ID Perak

IPOH – Kira-kira 500 atlet ketidakupayaan intelektual (ID) berusia antara lapan hingga 16 tahun dijangka menyertai Perak Open Special Olympics ID Athletics Championship 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di sini pada 11 Julai depan.

Kejohanan julung kali itu dianjurkan oleh Persatuan Penggerak Rekreasi Sejahtera Ipoh (PPRSI) dengan kerjasama Perak Community Specialist Hospital (PCSH), Persatuan Olimpik Khas Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Pengerusi PPRSI, Shanker Retinam berkata, kejohanan itu akan menghimpunkan atlet dari seluruh daerah di Perak termasuk kontinjen jemputan dari negeri lain.

Menurutnya, penganjuran kejohanan olahraga tersebut menjadi platform untuk pembangunan bakat sukan bagi individu berketidakupayaan intelektual serta peserta yang mempunyai tahap keupayaan fizikal rendah.

“Penganjuran kejohanan itu adalah inisiatif Ahli Lembaga Pelawat PCSH bagi memberi peluang kepada atlet istimewa mengasah bakat, meningkatkan keyakinan diri, mengamalkan gaya hidup sihat serta mengukuhkan integrasi sosial menerusi penyertaan dalam sukan secara tersusun dan inklusif.

“Selain menjadi platform pertandingan, kejohanan itu juga berfungsi sebagai medium pencarian bakat baharu untuk program pembangunan atlet Special Olympics Perak sebagai persediaan menghadapi kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa depan,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCSH, Nicholas Chan berkata, kekal komited menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti, mampu milik serta mengutamakan pesakit.

Katanya, sejak penubuhannya pada tahun 1904, PCSH bukan sahaja memberi fokus kepada rawatan malah turut menitikberatkan aspek pencegahan penyakit, pendidikan kesihatan dan sokongan kepada masyarakat.

“Melalui program seperti ini, kami berharap dapat memperkasakan masyarakat supaya lebih peka terhadap kesihatan dan mendapatkan rawatan pada masa yang tepat,” katanya.

Kejohanan tersebut mengaplikasikan sistem divisioning, iaitu kaedah pengelasan atlet mengikut tahap keupayaan dan prestasi semasa bagi memastikan setiap peserta bersaing dengan atlet yang mempunyai tahap kebolehan setara.

Kaedah berkenaan adalah amalan utama dalam program Special Olympics di seluruh dunia bagi mewujudkan pertandingan yang lebih adil dan selamat.

Bagi kategori ketidakupayaan intelektual biasa, acara yang dipertandingkan ialah larian 100 meter, lompat jauh, lontar peluru dan larian berganti-ganti 4×100 meter manakala kategori ketidakupayaan intelektual dengan fizikal rendah melibatkan acara larian 50 meter, lompat berdiri dan lontar bola sofbol. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Autisme bukan kekurangan, Rayqal bukti potensi diri dalam sukan berkuda

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI