500 sukarelawan JPPKK sertai CSR Rahmah Tambun

IPOH – Kira-kira 500 sukarelawan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) turun padang menggerakkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Rahmah Tambun bermula Khamis lalu dan berakhir hari ini.

Program dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melibatkan sukarelawan yang terdiri daripada peserta Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Madani POLYCC 2023 dan kakitangan Politeknik Ungku Omar (PUO).

Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah berkata program khidmat masyarakat ini melibatkan enam lokasi di Tambun iaitu Masjid Jamek Al-Taufiqah Taman Klebang Jaya, perkampungan Orang Asli Kampung Tonggang dan Kampung Sungai Badok, Rumah Anak Yatim Yayasan An-Nur Maisarah, Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman serta Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin 7.

Menurutnya, untuk program CSR di perkampungan Orang Asli Kampung Tonggang dan Kampung Sungai Badok yang berlangsung hari ini, sebanyak empat buah rumah terpilih untuk dibaik pulih pendawaian elektrik.

“Pelbagai aktiviti dilaksanakan pada program itu antaranya termasuklah pembersihan surau, Program Pemantapan Solat oleh Bahagian Pembangunan Du’at, gotong royong keceriaan, pertandingan kuiz dan mewarna.

“Sebanyak 163 Bakul Rahmah turut diberikan kepada asnaf sumbangan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk),” katanya.

Sebahagian sukarelawan JPPKK yang menyertai program CSR Rahmah Tambun di perkampungan Orang Asli Kampung Tonggang dan Kampung Sungai Badok, hari ini. – Foto Ihsan PUO

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Zamri Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Shamsuri berkata program berkenaan adalah salah satu manifestasi tanggungjawab sosial Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja mampan dan berkemahiran bahkan memiliki keterampilan unggul dalam aspek kebersamaan komuniti.

“Ini selaras dengan matlamat JPPKK yang ingin melahirkan mahasiswa berketerampilan unggul dalam segala aspek dan nilai diri serta program ini adalah kata kunci kepada pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), peneraju masyarakat Madani,” katanya.

Selain YADIM, program ini turut mendapat kerjasama pelbagai agensi di Perak antaranya Pejabat Ahli Parlimen Tambun, JAIPk, Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Kinta, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negeri (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. – MG Perak

BACA SETERUSNYA:

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI