Langgar belakang lori: Anggota tentera maut diseret 100 meter – Polis

TANJUNG MALIM – Penunggang motosikal yang juga anggota tentera dari Kem Bentong, Pahang diseret sejauh 100 meter selepas terperosok di bawah sebuah kereta dalam nahas jalan raya di kilometer (km) 379 arah selatan, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, malam tadi.

Mohamad Hafizz Yusof, 28, yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas membabitkan tiga kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan nahas jalan raya itu kira-kira jam 11.14 malam.

Katanya, berdasarkan kepada siasatan awal, pihaknya mendapati sebelum itu, sebuah lori tiga tan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengalami kerosakan sebelum berhenti di lorong kecemasan lokasi kejadian.

“Beberapa minit kemudian, pemandu lori terbabit terdengar dentuman dari arah belakang kenderaannya dan mendapati ia dilanggar sebuah motosikal yang ditunggang Mohamad Hafizz.

“Ketika kejadian, sebuah kereta Nissan Almera yang sedang bergerak tidak sempat mengelak mangsa yang tercampak.

“Ia menyebabkan mangsa diseret sebelum pemandu kereta berhenti di lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mohd Hasni berkata, pemandu lori yang berusia 39 tahun dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas berkenaan.

Tambah beliau, jasad anggota tentera yang beralamat di Junjung dekat Kulim, Kedah telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Slim River untuk dibedah siasat. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Penunggang motosikal maut terperosok bawah kereta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI