Lempar objek besi: Empat lelaki curi kabel ditahan

IPOH – Empat lelaki terbabit aktiviti kecurian kabel yang dikejar pihak polis sehingga dua anggota cedera Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Taiping akhirnya berjaya diberkas pada Isnin.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua lelaki tempatan ditahan di Padang Serai dan Sungai Petani, Kedah itu berusia dalam lingkungan 38 hingga 42 tahun.

Katanya, selain itu kesemua peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel turut dirampas pihak polis.

“Hasil soal siasat, kesemua suspek mengaku terlibat dengan kes ini dan juga kes-kes curi kabel di kawasan Bandar Raya ipoh.

“Ujian saringan awal air kencing telah dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek telah direman bermula dari 27 Februari sehingga 1 Mac depan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Setelah siasatan kes ini diselesaikan, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kabel dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Jelas beliau, terdahulu pihak polis telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian kecurian kabel di sekitar Taman Ipoh, Jaya Timur, dekat sini, Isnin lalu.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis telah cuba menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dalam keadaan mencurigakan dan telah melarikan diri.

“Hebahan bantuan telah dilakukan dan beberapa buah kereta peronda polis telah ditugaskan untuk mengejar kenderaan suspek sehingga ke lebuh raya PLUS

“Kenderaan suspek berjaya ditemukan manakala suspek dipercayai empat lelaki warga tempatan berjaya melarikan diri (dan akhirnya berjaya ditahan),” ujar beliau.

Jumaat minggu lalu, media melaporkan adegan Toyota Hilux yang dikejar pihak polis mengakibatkan dua anggota polis cedera di kilometer (km) 215 Lebuhraya PLUS arah utara.

Kereta peronda polis bertindak mengejar suspek lebih 50 km dari Plaza Tol Ipoh Utara melepasi ke Plaza Tol Changkat Jering di Taiping.

Dua anggota polis masing-masing berpangkat koperal dan lans koperal mengalami luka di kepala serta sakit di beberapa bahagian badan termasuk dada dan tengkuk selepas kereta peronda jenis Honda Civic 1.8 (SPANCO) dinaiki hilang kawalan.

Suspek terlibat dipercayai melempar satu objek besi sehingga mengakibatkan kenderaan yang dinaiki anggota berusia 29 dan 38 tahun itu terbabas dan berpusing sebelum melanggar penghadang jalan. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dua anggota MPV cedera, polis buru suspek lempar objek besi

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI