Kuartet 4x100m wanita negara tiga terbaik Asia

HANGZHOU – Kuartet 4×100 meter (m) wanita negara sedikit bernasib baik apabila merangkul pingat gangsa pada final acara Sukan Asia itu yang berlangsung di Stadium Olimpik Hangzhou di sini, malam ini.

Ia selepas penyertaan kuartet Bahrain dibatalkan selepas salah seorang pelari negara itu didapati melakukan kesalahan TR24.7 iaitu membuat lepasan baton di luar zon pertukaran, menurut keputusan rasmi yang dikeluarkan.

Terdahulu gandingan Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Shereen Samson Vallabouy menampilkan larian bertenaga untuk mencatat masa 45.01 saat (s) untuk menamatkan saingan di tempat keempat.

Kuartet China memenangi emas selepas menjadi yang terpantas melepasi garisan penamat dengan catatan 43.39s sementara Thailand membawa pulang perak selepas merekodkan 44.32s.

Sementara itu, penyertaan kuartet 4x100m lelaki negara dibarisi bekas pemegang rekod kebangsaan Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Arsyad Md Saat, Jonathan Nyepa dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi dibatalkan atas kesalahan TR17.3.1 iaitu pencerobohan lorong.

Terdahulu, mereka menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan masa 39.19s.

Pingat emas menjadi milik kuartet China yang melintasi garisan penamat dengan catatan 38.29s diikuti Jepun yang merangkul perak (38.44s) dan Korea Selatan membawa pulang gangsa selepas merekodkan 38.74s.

 

Sementara atlet lompat kijang Andre Anura Anuar menamatkan final di tempat kelapan daripada keseluruhan 13 peserta dengan lompatan sejauh 16.00m.

— BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI