KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas disyaki ditinggalkan ibunya di dalam kereta selama hampir lapan jam, di parkir Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata dalam kejadian kira-kira 7.20 pagi itu, ibu mangsa, seorang doktor di hospital terbabit membawa bayi itu untuk dihantar ke taska.
“Mangsa diletakkan di bahagian belakang penumpang sebelah kiri kereta untuk dihantar ke taska tetapi ibu bayi berkenaan terus ke tempat kerja dengan anggapan mangsa telah pun dihantar ke taska.
Zam Halim berkata mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua adik beradik disahkan meninggal dunia pada pukul 5.53 petang hari yang sama oleh pegawai perubatan HCTM.
Beliau berkata keterangan daripada ibu mangsa akan diambil selepas selesai urusan pengebumian.
— BERNAMA