KOTA BHARU – Seorang lelaki maut selepas tertimbus tanah ketika sedang menurunkan gelung simen di dalam telaga yang baru siap digali di Masjid Kampung Gelam Tok Uban Pasir Mas, di sini semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Adnan Mat Juri berkata mangsa Mohamad Khairul Jeffry Maarof, 23, dibawa naik dengan bantuan orang awam pada 7.15 malam tadi dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.54 petang dan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas digerakkan ke lokasi kejadian.
“Apabila kami tiba di lokasi kejadian pada 6.17 petang, mangsa didapati telah tertimbus dalam telaga yang berkedalaman kira-kira enam meter,” katanya ketiga dihubungi tengah malam tadi.
Adnan berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
— BERNAMA