USAS manfaat tanah sawah terbiar menerusi penanaman padi NMR-152

IPOH – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) akan melaksanakan projek rintis penanaman padi menggunakan benih NMR-152 atau padi nuklear di tanah sawah terbiar seluas 8.1 hektar di Kampung Kandang Hulu, Mukim Kota Lama Kanan di Kuala Kangsar.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, projek ini dijalankan bagi membantu pembangunan sekuriti makanan di Perak.

Menurutnya, untuk fasa awal, projek tersebut membabitkan lima penduduk Kampung Kandang Hulu, Kota Lama Kanan melibatkan tanah seluas satu hektar.

“Selepas itu, projek berkenaan akan diperluaskan di 40.5 hektar kawasan sawah terbiar di kampung berkenaan serta di kawasan lain antaranya kawasan perkampungan Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang.

“Pemilihan padi jenis NMR-152 adalah disebabkan ia tahan cuaca ekstrim dan tidak mudah terkena serangan penyakit serta memerlukan bekalan air yang minimum bagi penghasilan padi yang optimum.

“Padi jenis mampu menghasilkan pengeluaran padi antara lapan hingga 10 tan metrik bagi keluasan satu hektar dan boleh dituai hanya dalam tempoh 110 hari dan mampu mencapai sasaran penanaman padi tiga kali setahun atau lima kali dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Naib Canselor USAS, Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Dalam pada itu, Zolkafly berkata, selain penanaman secara berskala besar di kawasan sawah terbiar, penanaman berskala kecil turut dijalankan menerusi program ‘Lamanku, Berasku’.

“Menerusi program itu, peserta dibekalkan set lengkap penanaman padi untuk diusahakan secara penanaman polibeg di kawasan halaman rumah masing-masing melibatkan 20 rumah penduduk kampung tersebut.

“Projek rintis ini akan membantu kerajaan negeri dalam memperkasakan sekuriti makanan di negeri ini selaras dengan agenda Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya yang akan membentangkan projek tersebut dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak pada Rabu.

Katanya, usaha itu secara tidak langsung menggalakkan penggunaan tanah terbiar di negeri Perak yang ketika dikenal pasti ini berjumlah 11,013 hektar dengan 4,004 bilangan lot. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak perkasa keterjaminan makanan dalam skala besar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI