PUO tawar tiga program baharu peringkat ijazah sarjana muda

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) bakal menawarkan tiga program baharu peringkat ijazah sarjana muda kepada pelajar bermula kemasukan bulan September tahun ini.

Penambahan program tersebut adalah Sarjana Muda Teknologi Senibina, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Marin dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik.

Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah berkata, penambahan tiga program tersebut sebagai usaha PUO untuk mencapai kriteria sebagai politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan atau APEX.

“Buat masa sekarang kita hanya tawarkan tiga program baharu di kampus PUO di sini.

“Pada tahun hadapan kita berhasrat untuk tawarkan lima lagi program baharu peringkat sarjana muda di mana kini sedang diperincikan pada peringkat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Penutup Anugerah POLYCCSkills 2024 di Dewan Jublis Emas, Politeknik Ungku Omar, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, majlis disempurnakan oleh Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti mewakili ketua Pengarah, Mohd Noor Shahudin.

POLYCCSkills 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula 1 Julai hingga 4 Julai melibatkan semua politeknik dan kolej komuniti yang menyaksikan 39 bidang kemahiran dipertandingkan.

Antara bidang kemahiran yang dipertandingkan adalah Mekatronik, Rangkaian Sistem IT, Patisserie dan Konfeksi, Teknologi Fesyen, Animasi 3D, Penyenggaraan Pesawat, dan lain-lain.

Pengarah Kanan Akademik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Noor Shahudin berkata, seramai 780 orang peserta yang terlibat bersaing merebut 120 pingat dan tiga anugerah utama iaitu Anugerah Minda Emas, Jari Emas dan Tangan Emas.

“Kepentingan pertandingan seperti POLYCC Skills ini tidak dapat dinafikan. Ia bukan sahaja menjadi platform untuk menguji dan mempertingkatkan kemahiran teknikal para pelajar, tetapi juga menyediakan ruang untuk mengembangkan daya saing, kreativiti, dan inovasi.

“Saya percaya, dengan adanya platform seperti ini, kita akan dapat melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga mampu membawa nama negara ke persada dunia,” ujarnya. – MG Perak.

Artikel Berkaitan: 

Karnival Kerjaya PUO tawar lebih 300 peluang kerja

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI