Isaac, Sze Hui juara kebangsaan Piala Remaja Triatlon Asia 2024

KAMPAR – Atlet triatlon Malaysia, Isaac Tan dan Teo Sze Hui menyinar sebagai juara remaja lelaki dan wanita kebangsaan selepas muncul sebagai juara negara pada Piala Remaja Triatlon Asia 2024, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), dekat sini, hujung minggu lalu.

Dalam satu kenyataan memaklumkan, ia melibatkan acara Kejohanan Remaja Kebangsaan dan Kejohanan B15 Kebangsaan yang masing-masing dianjurkan Persatuan Triatlon Malaysia.

Dua atlet berkenaan mempamerkan aksi membanggakan dalam perlumbaan lelaki dan wanita remaja masing-masing yang menampilkan barisan atlet remaja elit terbaik Asia yang berusia antara 16 hingga 19 tahun.

Isaac berjaya menduduki tempat ke-19 daripada 72 pesaing lain dengan melengkapkan perlumbaan yang menggabungkan acara 750 meter (m) renang, 20 kilometer (km) berbasikal dan larian 5km dengan catatan masa satu jam 55 saat (1:00:55).

Pada acara sama, atlet Hong Kong, Woh Ka Ho diumumkan sebagai juara lelaki Piala Remaja Triatlon Asia selepas berjaya menamatkan saingan dengan catatan masa 58 minit dan 48 saat (58:58), mengatasi pencabar terdekatnya, Kuanysh Bekenov dari Kazakhstan (59:01).

Atlet dari Hong Kong, Anson Wong turut melengkapkan podium di tempat ketiga selepas melepasi garisan penamat pada catatan masa 59:15.

Sementara dalam acara wanita, Sze Hui menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 peserta terbaik melalui catatan masa 1:11:53.

Kira Ellis dari Filipina yang merekodkan catatan masa 1:05:32 dinobatkan sebagai juara melangkaui jurang dua minit dengan pesaing dari Korea Selatan Park Seo-eun (1:07:42) dan Diana Biktimirova dari Uzbekistan (1:07:45).

Menurut Isaac, walaupun merasakan mampu melakukan lebih baik, namun ia berasa gembira selepas berjaya mengekalkan status selaku atlet terbaik negara.

Ujarnya, ia merupakan kejuaraan remaja sulung buatnya dan gelaran juara kebangsaan kali ketiga secara keseluruhan.

“Sebelum ini saya menjadi juara kebangsaan di Kota Kinabalu tahun lalu dan Putrajaya pada Februari ini bersempena dua pusingan sirkit Piala Triatlon Asia).

“Aksi kali ini tidak begitu ideal kerana saya masih cuba menyesuaikan diri dengan program latihan yang diubah baru-baru ini.

“Saya sedang membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Asia di Arab Saudi pada Disember ini, mudah-mudahan prestasi saya akan dapat ditingkatkan dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Pada masa sama, Sze Hui memberitahu, dia berpuas hati untuk kembali dengan kemenangan itu selepas mengalami kecederaan ketika berbasikal yang memaksanya berehat selama enam bulan sebelum ini.

“Keputusan ini penting kerana saya berharat untuk mewakil negara pada Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA tahun hadapan.

“Saya akan cuba bersaing untuk menempatkan diri sebagai antara pelumba terbaik, dan ada beberapa lagi atlet senior yang saya perlu atasi,” jelasnya.

Selain itu, Ka Ho dan Kira masing-masing menyimpan hasrat menjadikan kejuaraan yang diperoleh sebagai batu loncatan untuk melayakkan diri mereka ke pentas Olimpik 2028 di Los Angeles.

Pada masa sama, Ng Han Yang dan Emily Chen diumumkan sebagai juara Bawah 15 tahun (B15) kebangsaan dalam kategori lelaki dan wanita dalam acara perlumbaan jarak dekat yang meliputi acara 375 m renang, 10 km berbasikal serta 2.5 km berlari.

Han Yang yang merekodkan catatan masa 35:02 menduduki tempat ke-12 sementara juara, Ramazan Ainegov dari Kazakhstan sampai di garisan penamat pada catatan 32:06.

Sementara dalam kategori wanita, Emily yang meraih kedudukan ke-10 dengan catatan masa 40:55 akur dengan dengan Yukiho Okuma dari Jepun yang menamatkan saingan pada catatan 36:53.

Sepanjang Piala Remaja Triatlon Asia 2024 berlangsung, ia turut diadakan beberapa acara sampingan termasuk triatlon terbuka serta acara larian santai 5 km yang disertai lebih daripada 1,000 orang. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

26 atlet Perak terima insentif RM24,350

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI