TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan membantu sepenuhnya keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, dalam semua urusan sepanjang mereka berada di sini.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Taff berkata, UPSI turut menyediakan penginapan di Rumah Tamu, Kampus Sultan Azlan Shah bagi keluarga kepada alumni universiti itu bermalam supaya memudahkan urusan ahli keluarga berkenaan.
Menurutnya, pihak universiti turut menyediakan van jenazah di bawah Pusat Islam untuk melancarkan proses pengebumian jenazah Nur Farah Kartini.
“Sebagai universiti yang sentiasa sayang dan prihatin terhadap alumninya, UPSI akan meringankan urusan keluarga arwah melalui bantuan kenderaan sepanjang keluarga berada di Semenanjung, penginapan di Rumah Tamu UPSI dan membantu melancarkan proses pengebumian.
“Selain itu, kita akan memberikan khidmat kaunseling dan psikologi dan menghulurkan sumbangan kewangan serta lain-lain bantuan sokongan yang diperlukan dalam memudahkan urusan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini, pada Rabu.
Md Amin bersama pengurusan tertinggi turut bersimpati dengan keluarga mangsa serta berharap mereka tabah dan sabar menghadapi ujian tersebut.
“Seluruh warga UPSI, malah rakyat Malaysia sangat bersedih dan berdukacita dengan nasib yang menimpa Nur Farah Kartini, seorang pelajar yang cemerlang dan aktif membantu UPSI dalam pelbagai program pelajar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, selain urusan makan minum sepanjang keluarga berada di UPSI, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi akan membantu membawa pulang barang-barang milik Allahyarham supaya mempermudahkan urusan.
“UPSI menerusi Fakulti Pembangunan Manusia juga akan menyediakan khidmat kaunseling dan psikologi untuk keluarga Allahyarham.
Bersimpati dengan keluarga mangsa yang datang dari Miri, Sarawak, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut menggerakkan kutipan sumbangan dan diserahkan kepada ibu Nur Farah Kartini.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Amirul Haiqal Amirrudin Baki berkata, arwah seorang yang sangat baik, mesra dan jasanya akan dikenang oleh semua mahasiswa.
“Sebagai tanda prihatin, MPP juga mengambil inisiatif mengumpul sumbangan untuk disampaikan kepada keluarga arwah,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mayat Nur Farah Kartini reput di muka, dada
Kes bunuh Nur Farah Kartini: Suspek berkhidmat lima tahun sebagai polis