SSPA: Pelarasan gaji 15 peratus kepada kumpulan pelaksana – PM Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

“Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024, di sini hari ini.

Anwar berkata pelarasan gaji bagi pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah sebanyak lapan peratus pada Fasa 1 dan tujuh peratus pada Fasa 2 manakala untuk KPT adalah 4 peratus bagi Fasa 1 dan 3 peratus bagi Fasa 2.

“Seperti penjawat awam sedang berkhidmat yang akan diselaraskan gaji pada Disember 2024, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara,” kata Perdana Menteri.

Justeru, Perdana Menteri berkata julat peningkatan pendapatan yang bakal diterima penjawat awam adalah 16.8 hingga 42.7 peratus, dengan mengambil kira faedah berganda.

Beliau memberikan contoh seorang Pembantu Hidupan Liar, Gred G11, dengan pendapatan bulanan pada 30 November 2024 sebanyak RM1,795 akan menerima pendapatan bulanan sebanyak RM2,115 mulai Disember 2024 berdasarkan pelarasan gaji Fasa 1.

Tambahnya semasa pelarasan gaji Fasa 2 pada 1 Jan 2026, beliau akan menerima pelarasan sebanyak tujuh peratus menjadikan jumlah pendapatan bulanan Fasa 2 berjumlah RM2,327.

“Kaedah atau formula pengiraan ini akan diterangkan dengan lebih lanjut oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dalam sesi libat urus yang akan diadakan selepas pengumuman,” katanya.

Seterusnya Anwar berkata dalam usaha meningkatkan motivasi kerja Kumpulan Pelaksana, satu bentuk insentif berasaskan prestasi akan diberikan kepada pegawai yang telah mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya enam (6) tahun selepas Time-Based Kecemerlangan (TBK) 2 dan insentif ini bersamaan dengan kadar satu kenaikan gaji tahunan (KGT) gred jawatan semasa pegawai.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan melalui urusan pemangkuan atau kenaikan pangkat tanpa kekosongan secara Khas Untuk Penyandang (KUP) dari Gred 48 hingga ke Gred Khas C.

“Bagi inisiatif itu, fokus akan diberikan kepada tujuh bidang tujahan baharu seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, transformasi digital, teknologi makanan, peralihan tenaga, persempadanan negara dan pengurusan bencana,” katanya.

Bagi menghargai pengorbanan dan khidmat bakti anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Anwar berkata Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi veteran ATM tidak berpencen akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan untuk yang layak, bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.

Perdana Menteri berkata kadar pelarasan gaji yang ditingkatkan melalui SSPA itu dilaksanakan kerana mengambil kira berlaku peningkatan 21.3 peratus terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) dalam tempoh 10 tahun lepas, terutamanya harga makanan dan minuman yang merupakan keperluan asas, yang turut naik pada kadar 24.8 peratus.

“Kita rasa gaji penjawat awam selama ini sejak 12 tahun hanya naik 5.8 peratus ketimbang inflasi 24 peratus, maka sebab itulah bagi penjawat awam amat menekan terutama Gred 26 dan ke bawah yang mempunyai nilai gaji pokok yang rendah.

“Kali terakhir pelarasan gaji pada 2012, pelarasan gaji (SSPA) yang akan dilaksanakan nanti pada umumnya adalah jauh lebih baik daripada apa yang pernah dilaksanakan, jadi kerajaan komited untuk memastikan pembelaan penjawat awam,” kata Anwar.

Anwar seterusnya mengingatkan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan dalam apa jua bentuk susulan pengumuman penyelarasan gaji penjawat awam berkenaan.

“Umpamanya cubaan untuk menaikkan harga barangan keperluan dan sebagainya… perkara ini seharusnya dihindari.

“Saya harap sektor swasta terutamanya syarikat-syarikat yang catatkan keuntungan tinggi mencontohi langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam dengan mengambil langkah yang perlu sebagai simbolik menghargai produktiviti dan pengorbanan serta keringat tenaga pekerja syarikat masing-masing,” katanya lagi.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI