UPSI prihatin sumbang kerusi roda elektrik, takaful kepada staf, waris

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyampaikan bantuan kerusi roda elektrik dan sumbangan takaful berkelompok kepada staf dan waris UPSI yang berkelayakan baru-baru ini.

Bantuan tersebut melibatkan empat penerima kerusi roda elektrik dan empat waris penerima sumbangan takaful berkelompok menerusi Tabung UPSI Prihatin.

Tabung berkenaan diwujudkan bagi membantu kakitangan dan mahasiswa serta masyarakat dalam meringankan beban musibah dan kemiskinan.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, bantuan tersebut adalah satu inisiatif yang diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti kakitangan UPSI yang telah lama berkhidmat di institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan.

Menurutnya, idea itu tercetus apabila semangat juang dipamerkan oleh kakitangan UPSI yang mempunyai kekurangan diri namun sentiasa komited untuk menjalankan tugas.

“Saya sentiasa cakna dengan kakitangan UPSI yang mempunyai kekurangan tetapi saya kagum dengan mereka yang tetap bersemangat dan komited untuk bekerja di UPSI.

“UPSI berhasrat untuk menyediakan lebih banyak inisiatif bantuan kepada kakitangan dan pesara UPSI pada masa akan datang bagi memastikan kebajikan warga UPSI dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman serta Pengarah, Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (Wezas), Profesor Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif.

Dalam pada itu, Md Amin berkata, UPSI bakal melancarkan kad pesara kepada pesara UPSI termasuk balu pesara.

“Kad pesara tersebut menyediakan manfaat dalam menggunakan semua kemudahan yang ada di UPSI pada kadar harga staf,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI tandatangan MoU dengan Universiti Kanazawa

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI