TAIPING – Sepasang suami isteri kurang upaya (OKU) diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas rumah mereka di Kampung Salak Baru, Trong dekat sini dinaiki air, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 4.52 petang tadi.
Menurutnya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat sebuah rumah didiami pasangan suami isteri OKU masing-masing berusia 75 dan 52 tahun dinaiki air sedalam 0.7 meter.
“Anggota bomba bertugas kemudian membawa keluar pasangan tersebut ke kawasan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa terbabit diserahkan kepada pihak polis yang membantu menghantar mereka berpindah ke rumah saudara.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.21 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Situasi banjir di Kampar pulih, PPS ditutup
[…] Bomba selamatkan pasangan suami isteri OKU terperangkap banjir […]