BATU GAJAH – Seramai 500 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk kawalan keselamatan di dalam dan luar stadium Perak termasuk kawalan lalu lintas bagi mengelak kesesakan sempena perlawanan ulangan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) malam ini.
Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, kawalan tersebut tidak terhad di sekitar stadium sahaja tetapi turut meliputi seluruh bandar raya Ipoh.
Menurutnya, polis sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam menangani situasi di luar kawalan.
“Jumlah 500 polis itu berada bukan hanya di stadium, malah sebaliknya di persekitaran keliling stadium serta di luar kawasan stadium dan di (sekitar) pekan Ipoh. Itu tafsiran saya mengenai 500 keanggotaan itu yang bukan hanya duduk di (dalam) stadium.
“Bagi perlawanan ini saya menasihati kedua-dua penyokong, janganlah bermusuhan di luar padang Bertarunglah secara bijak secara strategik, secara kehebatannya ditonjolkan di padang.
“Penyokong-penyokong harus berhemah sentiasa mengikut peraturan-peraturan yang ditentukan oleh pasukan polis,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) Polis Diraja Malaysia (PDRM) anjuran Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Gajah di Dewan Konvensyen Pusing di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Perak, Asisten Komisioner Ng Kong Soon; Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohamad dan Pengerusi Persatuan Keselamatan Komuniti Pusing, Wong Chee Min.
Perlawanan antara kedua-dua pasukan itu yang dijadualkan pada 17 Ogos lalu, terpaksa ditunda ke tarikh baharu akibat cuaca buruk dan keadaan padang yang tidak memuaskan.
Pada masa sama, polis turut menahan tujuh lelaki berusia antara 19 hingga 27 tahun ekoran mencetuskan kekecohan dan provokasi semasa perlawanan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lapan individu ditahan cetus kekecohan perlawanan Liga Super