Kes bunuh di rumah kongsi: Empat termasuk warga asing ditahan

TAPAH – Polis menahan empat lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki di rumah kongsi yang terletak di sebuah kilang di Bidor, semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang bekerja sebagai kerani di kilang tersebut pada jam 4.21 pagi semalam.

Menurutnya, laporan itu dibuat susulan mangsa, lelaki berusia 34 tahun yang juga adik ipar kepada wanita terbabit ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh.

“Pada sekitar jam 2.30 pagi, semasa pengadu (wanita terbabit) berada di rumah kongsi kilang tersebut telah terdengar suaminya sedang bertengkar dengan suspek berhubung kecederaan dan bengkak di bahagian muka serta sesak nafas yang dialami mangsa.

“Selepas itu, suspek tersebut terus memukul kepala suami pengadu menggunakan tukul besi menyebabkan suami pengadu mendapat kecederaan di bahagian kepala.

“Bagaimanapun, selepas pengadu dan suami balik semula ke rumah kongsi, mereka telah menemui mangsa dalam keadaan terbaring di luar rumah tidak bernafas disyaki telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, susulan kejadian itu polis telah menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 37 serta 28 tahun yang merupakan pekerja dan tinggal di rumah kongsi kilang tersebut semalam dan mereka telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Hari ini, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah telah berjaya menangkap dua lelaki warga tempatan berusia 44 tahun dan suspek utama berusia 33 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kedua-dua suspek akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Tapah esok,” ujarnya.

Mohd Naim berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek warganegara asing tiada rekod jenayah lampau manakala dua suspek warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Punca dan motif kejadian tersebut masih dalam siasatan,“ jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Isteri maut dipukul, ditikam suami depan anak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI