IPOH – Blok pembangkang menerima dan menghormati keputusan pengundian berkaitan pelantikan Senator yang berlangsung pada hari ini, namun menegaskan perkara itu tidak seharusnya menjejaskan usaha ke arah penyatuan ummah, khususnya antara PAS dan UMNO.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria berkata, hasrat tersebut selari dengan aspirasi sebahagian besar rakyat yang mahukan sebuah kerajaan diterajui kaum majoriti, namun pada masa sama menjamin hak semua kaum seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menghormati prinsip asas negara.
“Blok Pembangkang telah mengambil pendirian secara en bloc dengan memberikan kepada 26 undi calon yang dikemukakan daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang.
“Kami menghargai dan menghormati pendirian ADUN yang bersama-sama berpegang kepada prinsip kebersamaan, disiplin serta keputusan yang telah dipersetujui.
“Pendirian ini bukan semata-mata berkaitan soal pelantikan seorang Senator, tetapi mencerminkan keutuhan dan kesatuan pendirian politik blok pembangkang dalam sesuatu perkara yang telah diputuskan secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Razman berkata, ruang untuk usaha penyatuan ummah perlu terus dipelihara demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
“Pada masa yang sama, kami menegaskan bahawa pintu penyatuan ummah tidak pernah tertutup. Usaha untuk memperkukuhkan hubungan antara parti-parti Melayu dan Islam, khususnya PAS dan UMNO, perlu terus dipelihara demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
“Namun, penyatuan yang kukuh mestilah dibina atas asas kejujuran, kepercayaan, saling menghormati dan kesetiaan kepada prinsip yang dipersetujui bersama,” ujarnya.
Katanya, blok pembangkang akan terus memainkan peranan secara konstruktif dan bertanggungjawab dalam membawa suara rakyat serta memastikan fungsi semak dan imbang terus dilaksanakan demi kepentingan negeri dan negara.
Terdahulu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri dipilih sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri Perak pada persidangan DUN, pada Khamis.
Usul pemilihan Ahli Dewan Negara atau Senator itu dibawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, sementara nama Ketua Pegawai Khas di Pejabat Ahli Parlimen Tambun itu diusulkan Sandrea Ng Shy Ching (PH-Teja) selaku pencadang wakil kerajaan.
Sementara pembangkang mencalonkan Ketua Dewan Ulama PAS Perak, Muhammad Zulkifli Muhammad Zakaria yang dicadangkan Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi).
Pemilihan Mohamad Hairul Amir diputuskan Speaker DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas berjaya mendapat 33 undi ADUN mengatasi calon yang diusulkan pembangkang.
Mohamad Hairul Amir dipilih sebagai Ahli Dewan Negara negeri Perak bagi menggantikan tempat Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang tamat penggal sebagai Senator selepas dipilih pada Mei 2023. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sertai Wawasan, Zainol Fadzi kekal Ketua Whip Pembangkang Perak


