IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, bersiap siaga menggerakkan tiga pasukan khas ke negeri di Pantai Timur yang terjejas banjir susulan musim Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, tiga Pasukan Gerak Cepat berkenaan terdiri daripada anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, BBP Kuala Kangsar dan BBP Tapah.
Katanya, pasukan berkenaan juga terdiri daripada 13 anggota yang bertugas dalam tempoh tiga syif, serta dilengkapi dengan kenderaan utiliti, bot, lori, alat komunikasi, lampu serta jaket keselamatan.
“Pusat Gerak Cepat yang terdiri daripada tiga pasukan itu akan bersiap siaga sekiranya Pusat Gerakan Operasi (PGO) Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya mengarahkan bantuan keperluan di negeri terjejas banjir.
“Sekiranya diarahkan PGO, maka kita akan segera ‘alert’ atau memaklumkan kepada balai-balai berkenaan untuk segera diatur gerak.
“Sementara balai dan anggota lain akan terus bersiap-sedia di negeri sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini (yang memerlukan operasi menyelamat),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Sekalung Budi Pesara-pesara JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM Negeri di Meru, dekat sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut Sayani memberitahu, Bomba Perak turut terlibat dalam menggerakkan pasukan khas bagi membantu kerja-kerja menyelamat mangsa banjir di Kelantan pada tahun lalu.
Jelas beliau, walau bagaimanapun pihaknya akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain dalam berhadapan dengan MTL kali ini bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir.
Dalam perkembangan sama Sayani berkata, JBPM Perak mengenal pasti 332 ‘hotspot’ atau titik panas lokasi berkemungkinan dilanda banjir di seluruh Perak pada musim MTL ini.
“Daripada jumlah berkenaan, Daerah Kuala Kangsar merekodkan lokasi berisiko banjir paling banyak iaitu 76, diikuti dengan Kinta dan Kerian masing-masing 59, serta Larut, Matang dan Selama (57).
“Selain itu, Hilir Perak merekodkan 18 lokasi, Hulu Perak (15), Batang Padang (14), Bagan Datuk (sembilan), serta Perak Tengah dan Muallim masing-masing lapan lokasi.
“Manakala Manjung merekodkan lima lokasi titik panas dan Kampar mencatatkan empat lokasi berisiko banjir,” jelasnya lagi.
Tambah Sayani, susulan perkembangan itu JBPM negeri akan menukar syif waktu bekerja anggota dan pegawai daripada 12 jam kepada 24 jam selain pembekuan cuti rehat, sekiranya diperlukan.
“Bagaimanapun, dalam masa terdekat kita belum ada keperluan untuk melaksanakan penukaran sistem waktu bekerja itu. Namun, kita sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya lagi.
Setakat ini, jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencecah 39,677 orang dengan 12,107 keluarga ditempatkan di 345 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam negeri.
Data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, Kelantan mencecah jumlah teramai dengan 32,858 mangsa di 10 daerah diikuti Terengganu (6,133), Kedah (443), Perlis (195), Johor (28) dan Perak (20). – MG Perak
Artikel berkaitan: