TANJUNG MALIM – Wakaf adalah sebuah ruang pembelajaran yang menyemai budaya tinggi dalam sejarah peradaban Melayu yang kini berpotensi untuk dimodenkan selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Justeru, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi projek Laman Warisan Melayu membina sebuah wakaf tradisional yang terletak di halaman bangunan Institut Peradaban Melayu (IPM) yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Pengarah IPM UPSI, Profesor Dr Tajul Shuhaizam Said berkata, wakaf Melayu bukan sekadar struktur fizikal dalam landskap tradisional malah menjadi simbol falsafah kehidupan masyarakat Melayu yang mengutamakan ilmu, kebersamaan dan kelestarian alam.
Menurutnya, sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka wakaf memainkan peranan penting sebagai pusat pembelajaran yang berfungsi sebagai tempat anak-anak kampung belajar mengaji al-Quran.
“Sarjana Syed Muhammad Naquib Al-Attas menganggap wakaf sebagai ruang intelektual yang membentuk pemikiran keilmuan masyarakat Melayu.
Selain itu, terdapat kajian lain yang mengaitkan wakaf dengan pembangunan ilmu praktikal seperti keusahawanan dan pertanian,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat juga sarjana yang menyifatkan wakaf sebagai tempat perbincangan komuniti serta mencadangkan potensi wakaf moden sebagai ruang pembelajaran ekologi untuk mengukuhkan hubungan manusia dengan alam.
“Kelestarian alam melalui wakaf adalah elemen alam yang sering menjadi sebahagian daripada falsafah wakaf Melayu dan wakaf tradisional sering dibina berhampiran pohon besar, sungai, atau kawasan lapang.
“Konsep ini mencerminkan keharmonian antara manusia dan alam, selaras dengan budaya Melayu yang menghormati keseimbangan ekologi,” ujarnya.
Tajul Shuhaizam berkata, dalam era moden, pendekatan lestari dapat diterapkan melalui penggunaan bahan binaan mesra alam, tenaga solar, dan aktiviti pemuliharaan alam.
Sementara itu, beliau memaklumkan IPM UPSI akan melaksanakan inisiatif menanam padi huma dalam polibeg di laman ini pada tahun 2025 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
“Projek ini, bukan sahaja bertujuan memelihara spesies tumbuhan warisan Melayu tetapi juga mendidik masyarakat tentang pentingnya pemeliharaan biodiversiti,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: