TAIPING – Negeri Perak kini menjadi destinasi pelaburan yang semakin menarik minat pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia diperkukuh lagi dengan pertumbuhan infrastruktur yang pesat serta sokongan terhadap pemain industri.
Katanya, inisiatif itu selaras dengan agenda pembangunan Pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Flagship Kesembilan iaitu Program Mesra Pelabur.
“Faktor-faktor ini menjadikan Perak sebagai satu destinasi pilihan yang menarik bagi syarikat yang mencari lokasi strategik untuk memulakan dan mengembangkan operasi perniagaan mereka.
“Potensi pelaburan ini mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi rakyat tempatan dan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kilang Green Excel Manufacturing Sdn. Bhd. (GEM) di Kawasan Perindustrian Kamunting 3, Kamunting Raya, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengurusan Pelaburan Perak (InvestPerak), Mohamad Hashim Abdul Ghani, serta Pengarah GEM, Yip Pek San.
Ujar beliau, selain itu ia turut menyumbang kepada industri teknologi hijau sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadi hab bagi teknologi hijau dan inovasi di bawah Flagship Ke-12 Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, dengan penambahbaikan berterusan.
“Ia termasuk dalam infrastruktur, penstrukturan semula peraturan, dan menawarkan insentif untuk menyokong perniagaan serta usahawan tempatan,” katanya.
Kilang GEM menghasilkan produk ‘cleanroom panels’ atau panel bilik bersih industri yang akan dieksport ke pasaran Eropah.
Mengulas lanjut Saarani berkata, pembukaan Kilang GEM mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Perak dalam menyediakan ekosistem industri yang kondusif dan mesra pelabur.
Kata beliau, ia sekali gus mempamerkan kesungguhan negeri ini dalam merealisasikan agenda Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pemerkasaan pembangunan industri berasaskan inovasi serta teknologi hijau.
“Dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 2,000 meter persegi sehari, GEM dijangka memberi impak besar kepada ekonomi tempatan dengan merangsang pelaburan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” jelas Saarani. – MG Perak
Artikel Berkaitan: