PHI, TNB edar 1,000 bekas bubur lambuk di Masjid Negeri

IPOH – Pengurusan Masjid Sultan Idris Shah II atau turut dikenali sebagai Masjid Negeri Perak di sini, menyambut baik penganjuran program pengagihan bubur lambuk sempena bulan Ramadan oleh Hospital Pantai Ipoh (PHI) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Imam Masjid Negeri Perak, Abdul Farid Salleh berkata, program seperti itu cukup baik diadakan pada bulan Ramadan dalam usaha mendapatkan keberkatan Allah SWT.

Menurutnya, program tersebut dianjurkan dua kali seminggu melibatkan sama ada individu, syarikat atau pertubuhan di sekitar Perak.

“Hari ini program anjuran dua kali seminggu sepanjang Ramadan ditaja PHI dan TNB. Kita amat memerlukan tajaan daripada pihak perseorangan atau pertubuhan untuk bersama-sama menyertai program bubur lambuk di sini.

PHI, TNB edar 1,000 bekas bubur lambuk di Masjid Negeri
Hospital Pantai Ipoh dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak mengimarahkan Ramadan dengan menganjurkan program agihan bubur lambuk di perkarangan Masjid Sultan Idris II atau lebih dikenali sebagai Masjid Negeri Perak, di Ipoh, baru-baru ini. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Program ini bertujuan untuk memberi makanan kepada orang untuk berbuka puasa tidak kira orang susah dan senang. Mereka boleh datang ke sini, ambil bubur lambuk iaitu antara juadah popular dalam bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette Perak (MG Perak) baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Business Support Office (BSO) TNB Perak, Munirah Mohamed Adnan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ipoh, Yow Huai Mim.

Beliau memaklumkan, sebanyak 22 kilogram beras digunakan untuk menghasilkan bubur lambuk yang mampu diedarkan kepada 1,000 orang.

Dalam pada itu, Abdul Farid berkata, pihak masjid turut menggalakkan orang ramai untuk membawa bekas sendiri bagi mengambil bubur lambuk tersebut.

“Kita mula galakkan pengunjung untuk bawa bekas makanan sendiri kerana menyahut kempen tidak menggunakan beg plastik untuk membantu mengurangkan pencemaran seperti saranan Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk),” jelasnya.

Tambahnya, mereka yang tidak membawa bekas makanan boleh membeli bekas yang disediakan dengan harga RM4 dan RM5 sahaja. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pertahan tradisi 80 tahun edar bubur lambuk percuma

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI