IPOH – Persepsi golongan belia terhadap bidang pertanian perlu diperbaiki bagi meningkatkan pembabitan mereka dengan ‘meremajakan’ sektor berkenaan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, golongan belia adalah aset negara kerana mereka adalah pewaris yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan dan merupakan sumber tenaga kerja yang penting bagi negara.
“Bagaimanapun, perkembangan industri pertanian negara menunjukkan kurangnya penglibatan golongan belia di Malaysia dalam aktiviti pertanian.
“Kerjaya sektor pertanian semakin diambil alih oleh tenaga kerja warga asing kerana faktor belia yang kurang meminati bidang ini.
“Mereka (belia) seringkali bertanggapan negatif oleh masyarakat kerana merasakan sektor ini tidak begitu gah berbanding sektor yang lain.
“Kesannya sekiranya negara masih bergantung kepada tenaga kerja asing dan peladang yang berusia dalam bidang pertanian, dikhuatiri ketiadaan pelapis dalam bidang berkenaan dan ini akan membawa kesan negatif kepada kelangsungan sektor agromakanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Townhall Pemimpin Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil
Dalam perkembangan berkaitan, Foong Hin berkata, kerajaan memandang serius dan menawarkan pelbagai bantuan untuk memberi dorongan kepada golongan belia supaya boleh merealisasikan matlamat yang ditetapkan negara dalam industri pertanian termasuk mengeksport produk-produk agromakanan ke luar negara.
“Sektor pertanian ini sebenarnya mampu memberikan pulangan lumayan sekiranya ia dilakukan secara serius dan betul,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, program berkonsepkan santai ilmiah ini diadakan khas sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 bertujuan mencari solusi di samping untuk memupuk minat belia negara bagi menceburi sektor pertanian dengan pengenalan dan penggunaan teknologi yang mampu mengurangkan kos dalam pelaksanaan projek.
“Selain itu, penganjuran sesi seperti ini diharap dapat memberi panduan, ruang dan peluang kepada mereka yang berminat terutamanya golongan belia untuk bersama dalam sektor ini.
“Justeru, diharap program-program seperti ini mampu menarik minat golongan belia untuk terus menceburi bidang agromakanan negara seterusnya menyumbang kepada kelestarian sumber agromakanan dalam negara,” ujarnya.
Seramai 1,500 pengunjung termasuk belia agro yang berminat atau sedang menceburi sektor agromakanan dan keusahawanan terdiri daripada peladang, penternak dan nelayan hadir pada sesi ini. – MG Perak
[…] Sektor pertanian perlu ‘diremajakan’ untuk tarik belia […]