Ribut Perak Tengah: Segera baiki sekolah terjejas

TAPAH – Kejadian ribut yang berlaku pada Ahad lalu di daerah Perak Tengah tidak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran pelajar walaupun terdapat beberapa sekolah yang mengalami kerosakan serius dalam kejadian tersebut.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, susulan kejadian itu, beliau telah membuat tinjauan di beberapa sekolah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil, Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak dan SK Datuk Sagor.

Menurutnya, pihak sekolah juga telah mengambil langkah penyuraian dengan menempatkan pelajar terbabit di bilik-bilik lain.

“Semasa lawatan itu saya diiringi Pengarah Pendidikan negeri, Safuan Raba’ai untuk kita melihat pelan-pelan kontingensi bagi membantu pihak sekolah.

“Pertama, perlu memastikan bahawa bangunan yang terlibat dengan ribut ini tidak digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Kedua, pihak sekolah perlu membuat laporan berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) iaitu kejadian pada hari pertama, hari ketiga dan hari ketujuh.

Ribut Perak Tengah: Segera baiki sekolah terjejas
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah pada sidang media Majlis Jamuan Aidilfitri KRT, JPKK, Komuniti Madani Tapah Road di Dewan Serbaguna Taman Indah, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 APRIL 2025.

“Laporan lengkap itu akan dihantar kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk dipanjangkan kepada KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Jamuan Aidilfitri Komuniti Madani Tapah Road di Dewan Serbaguna Taman Indah di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Khairudin telah menjemput pihak teknikal seperti Unit Pembangunan PPD, JPN dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian kerosakan yang berlaku di sekolah yang terjejas.

“Setiap kerosakan dan kos baik pulih akan dihantar kepada KPM untuk dibuat tindakan susulan.

Proses-proses itu memakan masa dan kita akan pastikan ia disegerakan dan diangkat dalam bantuan kecemasan melibatkan kejadian bencana,” jelasnya.

Katanya, bangunan atau blok yang terlibat dengan kejadian ribut itu telah pun digazetkan sebagai kawasan larangan untuk pihak murid, pelajar dan kakitangan atas faktor keselamatan.

“Perkara yang ditekankan oleh pihak pengurusan sekolah supaya SOP (prosedur operasi standard) keselamatan perlu dijelaskan kepada para pelajar supaya tidak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Amaran ribut petir, hujan lebat di tujuh negeri sehingga 1 tengah hari

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI