Perak sedia guna EV sebagai kenderaan rasmi

IPOH – Kerajaan Negeri Perak bersedia untuk mempertimbangkan cadangan menggunakan kenderaan elektrik (EV) sebagai kenderaan rasmi Exco.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun belum ada keputusan rasmi berkenaan cadangan itu, langkah tersebut dilihat selari dengan trend global ke arah kenderaan mesra alam.

“Kita tengok dulu keadaan bagaimana, namun ia tidak mustahil kerana ia adalah trend masa kini (penggunaan EV) dalam usaha mengurangkan jejak karbon.

“Dan sudah tentu, jika ia adalah trend di seluruh dunia, sudah semestinya kita tidak mahu Perak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Poin Pengecas Kenderaan Elektrik (EV) antara Casuarina Meru Sdn Bhd (CMSB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan peralihan penggunaan kenderaan rasmi kerajaan kepada EV secara berperingkat tahun ini.

Mengulas tentang majlis Saarani berkata, Perak akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada pelabur, melalui dasar yang kondusif, penyelarasan yang cekap dan sokongan infrastruktur yang berdaya tahan termasuk berkaitan EV.

“Perluasan infrastruktur EV turut membuka peluang dalam sektor baharu seperti perkhidmatan penyelenggaraan EV, pembangunan sistem pintar grid tenaga, dan industri pembuatan pengecas.

“Ini adalah peluang baharu untuk belia Perak yang berkemahiran tinggi dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan teknologi,” katanya lagi.

Saarani terdahulu menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara TNB yang diwakili Ketua Pegawai Strategi dan Ventures, Dr Mohd Fadzil Mohd Siam dengan CMSB diwakili oleh Pengurus Besarnya, Sabrina Ahmad Tah.

Menerusi kerjasama itu, TNB akan memasang satu pengecas pantas berkapasiti 120 kilowatt (kW) dengan dua muncung Sistem Pengecasan Gabungan Jenis 2 dan dua pengecas Pengecas Arus Ulang-alik berkapasiti 22kW di Hotel Casuarina@Meru.

Kemudahan itu akan menawarkan akses 24 jam dengan ruang parkir khas untuk EV serta pilihan pembayaran mudah alih bagi memastikan pengalaman pengecasan yang lancar untuk tetamu hotel serta pengguna awam. – MG Perak

 

 

Artikel Berkaitan:

PROTON mulakan pembinaan kilang EV pertama di AHTV

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI