IPOH – Perak komited untuk memperluaskan pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negeri, termasuk kawasan luar bandar dan destinasi pelancongan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain ia sebagai usaha menyokong agenda kelestarian di peringkat negeri ia juga sebagai langkah menyahut kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang akan datang.
Katanya, pelaksanaan itu turut melibatkan lokasi-lokasi strategik dan tumpuan umum seperti di Tasik Banding di Gerik yang menjadi sebahagian daripada penghubung dan laluan utama antara Pantai Barat dan Pantai Timur.
“Maknanya di mana juga, sama ada di bandar atau luar bandar, kerajaan negeri akan beri tumpuan (pemasangan stesen pengecasan EV) termasuk di kawasan-kawasan pelancongan. Ini kerana, pada masa kini sudah semakin ramai ramai pelancong menggunakan kereta EV.
“Dan dengan adanya kemudahan stesen pengecasan di tempat-tempat ini, maka akan lebih mudah menarik perhatian pelancong untuk datang, malah kita juga akan ada Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Poin Pengecas Kenderaan Elektrik (EV) antara Casuarina Meru Sdn Bhd (CMSB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hotel Casuarina@Meru, dekat sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Saarani berkata, kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan syarikat penyedia tenaga seperti TNB akan dipergiatkan bagi mempercepatkan pelaksanaan infrastruktur EV, khususnya di lokasi berpotensi tinggi.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, Perak meletakkan sasaran menyediakan 500 stesen pengecas EV menjelang akhir tahun ini, selari dengan sasaran nasional iaitu 10,000 unit di seluruh negara dalam tempoh sama.
“Perak telah berjaya menyediakan 149 petak pengecas di 56 lokasi strategik, termasuk di bandar, lebuh raya dan destinasi pelancongan utama.
“Sehingga kini kita telah mencapai 29 peratus sasaran, dan akan terus meluaskan pemasangan pengecas ini ke seluruh negeri, termasuk kawasan luar bandar dan lokasi ekopelancongan,” jelasnya.
Sementara itu Megat Jalaluddin berkata, TNB telah membangunkan 80 stesen pengecasan EV di seluruh negara termasuk di sekitar kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).
Kata beliau untuk di Perak, sebanyak enam stesen pengecahan EV telah siap dipasang sementara 14 masih dalam perancangan antaranya termasuk di Hentian Ladang Bikam Arah Utara, Pusat Beli Belah AEON Station 18, Hotel Casuarina Kuala Kangsar, Wisma TNB Ipoh dan Politeknik Behrang. – MG Perak
Artikel Berkaitan: