TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar satu lagi sejarah menerusi pelancaran buku Kepimpinan Berkesan Dalam Pemprograman Aktiviti Luar (KBDPAL).
Karya terjemahan pertama oleh Profesor Dr Simon Priest ke dalam Bahasa Melayu itu dilaksanakan sempena Malaysian Outdoor Recreation and Education Conference (MOREC 2025) baru-baru ini.
Pelancaran yang berlangsung pada 28 April lalu itu dianjurkan menerusi Akademi Kepimpinan Pengembaraan dan Rekreasi Luar (AURORA) di bawah Pusat Kokurikulum UPSI, seiring tema ‘Eco-Minds: Shaping Tomorrow’s Leaders Through Outdoor Learning’.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, inisiatif penterjemahan ini membuktikan komitmen UPSI dalam memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan dan memperluaskan akses kepada bahan akademik berkualiti tinggi.
Menurutnya, pelancaran buku tersebut mencerminkan usaha berterusan UPSI untuk memperkasakan bidang pendidikan luar sebagai satu cabang pendidikan penting dalam membina karakter dan kepimpinan generasi muda.
“Penterjemahan karya bertaraf antarabangsa ke dalam Bahasa Melayu adalah langkah strategik untuk memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu di rantau ini.
“Kita berharap buku ini bukan sahaja menjadi rujukan kepada pelajar UPSI, tetapi juga kepada pendidik, jurulatih rekreasi dan agensi berkaitan di seluruh negara serta Asia Tenggara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yassim berkata, AURORA mendapat kebenaran rasmi daripada pakar antarabangsa pendidikan luar, Dr Simon Priest, untuk menterjemahkan karya tersebut bagi kegunaan di rantau Asia Tenggara.
“Pelancaran buku ini selaras dengan usaha memperkasa bidang pendidikan uar sebagai alat pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah dan kepimpinan dalam kalangan generasi muda,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Simon Priest berkata, KBDPAL adalah buku pertama dalam bidang pendidikan luar yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu yang diterbitkan semula oleh AURORA UPSI.
Menurutnya, buku setebal 134 halaman ini mengandungi teknik dan kaedah kepimpinan berkesan dalam pemprograman aktiviti luar.
“Ini bertujuan memperkasakan rekreasi luar bukan sahaja sebagai aktiviti riadah, malah sebagai alat pendidikan, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan komuniti.
“Selain itu, buku ini turut menekankan aspek pelaksanaan aktiviti luar seperti sukan, perdebatan, khidmat komuniti serta kem kepimpinan.
“Ia secara tidak langsung berupaya membentuk sahsiah, disiplin, daya saing dan kemahiran insaniah pelajar, malah sejajar dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dalam membangunkan individu seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek,” jelasnya.
Beliau berkata, buku tersebut menyoroti cabaran pelaksanaan seperti kekangan sumber, komitmen tenaga pengajar, dan keperluan latihan intensif serta strategi penambahbaikan termasuk perancangan program lebih berfokus, penyediaan dana khas dan kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa serta komuniti.
“Pelancaran KBDPAL sekali gus mengukuhkan komitmen UPSI dalam memperkasa bidang pendidikan luar, menjadikan universiti ini peneraju utama dalam memperluaskan ilmu kepimpinan pengembaraan kepada masyarakat Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.
Untuk rekod, Dr Simon Priest adalah tokoh terkemuka dalam bidang pendidikan luar, pernah berkhidmat sebagai Profesor (1986-2018).
Beliau juga adalah Pengarah Eksekutif sebuah institut penyelidikan kecemerlangan (1986-1997) dan Dekan Pendidikan Profesional (2005-2008).
Dr Simon Priest juga pernah memegang jawatan pentadbiran tinggi termasuk Provost, Naib Canselor, dan Penasihat Menteri Pendidikan bagi pembelajaran dalam talian (2016-2018). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mahasiswa Perak Sejahtera diperluas ke UiTM Tapah, UPSI tahun depan