Perak nilai prestasi 829 ketua kampung, pelantikan baharu 1 Jun

IPOH – Perak sedang menjalankan penilaian prestasi ke atas 829 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau ketua kampung yang akan tamat perkhidmatan pada hujung bulan ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penilaian yang dilakukan oleh pegawai daerah masing-masing itu bertujuan untuk menentukan sama ada ketua kampung sedia ada akan disambung perkhidmatan atau digantikan dengan pelantikan baharu bermula 1 Jun depan.

Penilaian ketua kampung Perak Pelantikan ketua kampung baharu MB Perak Datuk Seri Saarani Mohamad JPKK Perak 2025 Ketua kampung umur 65 tahun Ketua kampung ganti baru Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Sejati Madani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 MEI 2025.

“Semua ketua kampung yang telah dilantik akan tamat perkhidmatan secara serentak pada 31 Mei ini, dan pelantikan semula atau baharu akan dilakukan bagi mengisi kekosongan tersebut.

“Sudah pasti ada kriteria yang perlu dipatuhi, dan saringan serta penilaian sedang dilakukan oleh pegawai-pegawai daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Sejati Madani di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar pada Majlis Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Sejati Madani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 MEI 2025.

Pada majlis itu, Kampung Jaya Setia dari daerah Kuala Kangsar dinobatkan sebagai johan Anugerah Sejati Madani 2024 dengan membawa pulang piala iringan dan hadiah berupa peruntukan projek infra berjumlah RM100,000.

Sementara Kampung Telaga Nenas dari Manjung pula diumumkan sebagai johan Anugerah Desa Sejahtera Negeri Perak 2024 dengan menerima piala iringan dan hadiah kemenangan berupa penyaluran ke akaun JPKK berjumlah RM10,000.

Penilaian ketua kampung Perak Pelantikan ketua kampung baharu MB Perak Datuk Seri Saarani Mohamad JPKK Perak 2025 Ketua kampung umur 65 tahun Ketua kampung ganti baru Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar bersama peserta pertandingan Desa Sejahtera Negeri Perak 2024 pada Majlis Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Sejati Madani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 24 MEI 2025.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, beberapa kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu diambil kira dalam proses penilaian tersebut, merangkumi prestasi sepanjang tempoh perkhidmatan serta faktor umur dan tahap kesihatan yang baik.

“Sebagaimana yang ditetapkan oleh KKDW, setiap ketua kampung hanya boleh berkhidmat sehingga pada umur mencecah 65 tahun. Dan jika sudah lanjut, saya mohon maaf, mereka tidak boleh dilantik semula.

“Selain itu, walaupun kita tidak minta untuk buat pemeriksaan kesihatan (termasuk) di Institut Jantung Negara (IJN), tetapi kita mahu tahap kesihatan seorang ketua kampung itu baik.

“Jika dia mempunyai masalah kesihatan yang serius dan tidak mampu meneruskan perkhidmatan, kita terpaksa menggantikan dengan individu yang lain,” jelasnya.

Dalam pada itu Saarani juga mengingatkan agar sekiranya terdapat ketua kampung yang tidak dapat meneruskan perkhidmatan untuk tidak kecewa sebaliknya terus memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Belanjawan Perak 2024: Elaun ketua kampung naik kepada RM300

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI