LUMUT – Sebanyak 269 barangan pelbagai jenis termasuk kerusi plastik dan meja kayu yang dipercayai digunakan dalam aktiviti sewaan tidak sah telah dirampas oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Pantai Teluk Senangin, dekat sini, pada Rabu.
MPM menerusi satu kenyataan berkata, operasi penguatkuasaan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung itu diadakan susulan aduan awam berkaitan aktiviti penyewaan kerusi pelampung yang dijalankan tanpa kebenaran.
Katanya, tindakan itu diambil mengikut peruntukan Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), iaitu larangan terhadap sebarang bentuk halangan di tempat awam.
Tambah MPM, dalam operasi sitaan yang dijalankan, tindakan juga telah diambil terhadap pengusaha kerusi, meja, khemah dan pelampung yang beroperasi tanpa lesen atau kebenaran sah.
“Sebanyak enam sitaan telah dibuat melibatkan pelbagai peralatan termasuk khemah yang dipasang di sepanjang kawasan Pantai Teluk Senangin.
“Semua peralatan yang disita telah dibawa ke Depoh Simpanan Sementara MPM untuk tindakan selanjutnya mengikut undang-undang dan prosedur yang ditetapkan.
“Jumlah sitaan melibatkan 220 kerusi, 19 meja kayu, sebuah meja besi, sebuah payung, 25 pelampung dan tiga khemah,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Menurut MPM lagi, hasil semakan mendapati daripada 10 permit pengusaha sewaan kerusi pelampung yang dikeluarkan, hanya tiga daripadanya masih aktif.
Jelasnya, antara syarat penting yang perlu dipatuhi oleh pengusaha berkenaan adalah tidak meletakkan peralatan sebelum sewaan dibuat, serta tidak dibenarkan mengutip bayaran bagi sewaan peralatan lain atau penggunaan tapak yang tidak berkaitan dengan aktiviti sewaan kerusi pelampung.
Dalam pada itu, MPM berkata, pihaknya memandang serius terhadap aktiviti sewaan peralatan riadah tanpa kebenaran kerana ia melibatkan hak awam untuk mengakses kawasan rekreasi secara bebas tanpa kos tambahan yang tidak wajar.
“Pantai Teluk Senangin adalah pantai awam yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat untuk tujuan riadah, bersantai dan aktiviti perkelahan.
“MPM tidak mengenakan sebarang caj kepada pengunjung untuk aktiviti santai seperti membentang tikar, berkumpul bersama keluarga atau menggunakan ruang kawasan pantai tersebut untuk berehat.
“MPM juga tidak pernah melantik, memberi kuasa atau mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana individu, persatuan atau organisasi untuk mengutip bayaran daripada pengunjung pantai,” katanya lagi.
Justeru itu, ujarnya, orang ramai diminta menyalurkan aduan sekiranya berdepan dengan situasi mencurigakan melibatkan pengutipan bayaran oleh mana-mana pihak yang tidak dikenali di kawasan Pantai Teluk Senangin mahupun pantai lain di bawah pentadbiran MPM. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
MPM siasat dakwaan pengunjung diganggu di pantai Teluk Senangin