Perak dalam usaha perkasa sistem perundangan syariah

IPOH – Pihak Berkuasa Agama Negeri Perak sedang menggerakkan inisiatif memperkasa sistem perundangan syariah di negeri ini dengan memberi tumpuan kepada peluasan bidang kuasa serta hukuman bagi memastikan pelaksanaan undang-undang Islam yang lebih berkesan dan menyeluruh.

Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata, antara usaha yang dilihat adalah memasukkan peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

“Ketika ini bidang kuasa Mahkamah Syariah lebih tertumpu kepada undang-undang kekeluargaan Islam, manakala had hukuman jenayah masih terikat dengan peruntukan sedia ada iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

“Pihak kami khususnya pihak pelaksana perundangan syariah sedang berusaha untuk peluasan bidang kuasa khususnya hukuman tersebut dipertingkatkan supaya mendatangkan suatu kegerunan kepada orang awam melihat satu hukuman berat di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024 Jabatan Kehakiman Syariah Perak di hotel M Roof, di sini pada Jumaat.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak yang telah berkuat kuasa lebih 35 tahun tanpa sebarang pindaan juga sedang dikaji semula dan akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dikemas kini.

Bagaimanapun, Ab Rahman menjelaskan bahawa sebarang pindaan berkaitan hukuman jenayah di Mahkamah Syariah masih tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang perlu dipinda terlebih dahulu di peringkat Parlimen.

“Untuk rekod, Akta 355 adalah undang-undang persekutuan yang menetapkan had bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah yang digubal oleh pihak berkuasa negeri.

“Melalui usaha pemerkasaan ini, jurang antara sistem kehakiman syariah dan kehakiman sivil dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman Islam,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap rayuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sisters in Islam (SIS) Forum semalam, beliau menyifatkan keputusan itu memberi penegasan yang jelas mengenai kedudukan Jawatankuasa Fatwa.

“Terutamanya mengenai kes yang berlaku semalam, hakim mahkamah telah memperjelaskan bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa tidak boleh dicampur atau dipertikaikan,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak ada jawatankuasa tambah baik undang-undang syariah negeri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI