Ibu tunggal tak mengaku dagang anak kandung untuk eksploitasi seks

IPOH – Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan anak perempuannya sejak tahun 2022.

Tertuduh yang berusia 44 tahun mengaku tidak bersalah ke atas kedua-dua pertuduhan tersebut selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, suri rumah terbabit didakwa telah memperdagangkan anak kandungnya yang berumur 17 tahun ketika kejadian, bagi maksud eksploitasi seks.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah flat di Sitiawan, dalam Daerah Manjung antara tahun 2022 sehingga 3 September 2023.

Sehubungan itu, wanita terbabit didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia telah memperdagangkan mangsa sama bagi maksud eksplotasi dengan cara menggunakan kekerasan untuk memaksa mangsa bekerja sebagai pekerja seks.

Tertuduh berkenaan didakwa melakukan perbuatan tersebut di lokasi sama antara 4 September 2024 hingga 7 Jun 2025 lalu yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 12 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikam Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi, termasuk dua lagi anaknya yang berusia 16 dan 19 tahun.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh bertemu kedua-dua anaknya itu dengan kehadiran pegawai penyiasat, sekiranya mereka bersedia.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lebih 150 rakyat Malaysia masih dikurung sindiket pemerdagangan manusia

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI