TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengharumkan nama negara apabila pasukan UPSI Wind Orchestra meraih Gold Award dan markah tertinggi dalam Kategori Terbuka di Malaysian International Wind Festival (miwFEST) 2025 baru-baru ini.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kejayaan pasukan dianggotai 71 ahli itu membuktikan bakat serta dedikasi tinggi daripada pasukan tersebut.
Menurutnya, pasukan yang dibimbing beberapa pensyarah terdiri daripada Mohd Mustaqim Abdullah, Aiman Ikram Uyub, Zamrus Hashim, dan Wan Mohd Syaril Annuar Wan Mohd Harith menjadi tunjang utama kepada pencapaian luar biasa itu.
“Kita cukup berbangga dan gembira atas pencapaian tersebut. Kejayaan ini adalah hasil kerja keras, komitmen, dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh pasukan UPSI Wind Orchestra, pensyarah pembimbing, serta semua pihak yang terlibat.
“Ini membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi berupaya melahirkan bakat-bakat seni yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, kejayaan ini adalah komitmen tinggi pelajar-pelajar UPSI dalam mencapai kecemerlangan holistik, seiring dengan aspirasi ‘Ukhuwah-Prihatin-Santun-Impak’.
“Saya turut berbangga dan berharap kejayaan ini menjadi inspirasi berterusan kepada semua mahasiswa untuk terus gigih dalam apa jua bidang yang diceburi.
“Pencapaian bersejarah ini bukan sahaja meletakkan nama UPSI di peta dunia muzik, malah menjadi bukti keupayaan Malaysia melahirkan bakat-bakat seni bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, ini akan membuka lebih banyak peluang untuk kolaborasi dan pengembangan seni muzik dalam kalangan institusi pengajian tinggi, seterusnya memperkayakan landskap kebudayaan negara.
Program anjuran Malaysian Concert and Marching Band Association itu telah berlangsung pada 26 hingga 29 Jun lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Graduan pengiklanan, pendidikan awal kanak-kanak UPSI jadi rebutan majikan