IPOH – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, mencadangkan Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan sistem pendaftaran automatik ibadah haji bagi setiap pembukaan akaun baharu dengan syarat baki akaun mencapai jumlah minimum RM1,300.
Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim berkata, cadangan tersebut bertujuan memudahkan urusan umat Islam, khususnya golongan muda yang semakin awal membuka akaun dengan TH tetapi sering terlepas peluang pendaftaran haji akibat tidak mengetahui prosedur manual yang perlu dilakukan.
“Cadangan ini tidak menafikan keperluan menabung, sebaliknya berhasrat untuk menjadikan proses pendaftaran lebih mesra pengguna dan proaktif.
“Apabila syarat minimum simpanan dipenuhi, akaun tersebut akan secara automatik tersenarai dalam sistem giliran haji.
“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan jurang maklumat, malah mempercepatkan giliran haji dan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan TH,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan misi TH untuk menjadi sebuah institusi yang inklusif, efisien dan memudahkan umat Islam merancang ibadah mereka sejak usia muda.
“Kami mencadangkan supaya sistem pendaftaran automatik itu dilengkapi dengan pilihan ‘opt-out’ bagi individu yang belum bersedia untuk mendaftar, sekali gus memberi ruang fleksibiliti kepada pendeposit.
“Kami bersedia untuk berbincang dengan pihak TH dan agensi berkaitan bagi merealisasikan cadangan ini demi kebaikan umat Islam di seluruh negara,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: