PUTRAJAYA – Jemaah Menteri belum dimaklumkan mengenai pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia daripada Wisma Putra setakat ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, lazimnya Wisma Putra akan memaklumkan tentang pelantikan duta mahupun perwakilan asing kepada Jemaah Menteri.
“Kebiasaannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita akan menerima memorandum daripada Wisma Putra mengenai mana-mana pelantikan duta atau perwakilan asing baharu.
“Waktu ini perkara tersebut belum lagi dibawa ke perhatian Jemaah Menteri. Mungkin selepas kita ada maklum balas itu, tapi waktu ini belum lagi sampai ke Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memandang serius pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin mendakwa, latar belakang Adams didakwa condong kepada ideologi politik ekstrem kanan serta retorik bersifat memecahbelahkan dilihat bercanggah dengan prinsip kemajmukan, toleransi dan solidariti yang menjadi asas perpaduan rakyat Malaysia.
Selain itu, kata Fahmi, mana-mana calon duta mahupun perwakilan asing yang diketengahkan mestilah dipersetujui negara tuan rumah.
“Samalah juga sebelum ini, kalau kita teliti sejarah dalam kerajaan menamakan atau mencadangkan perwakilan Malaysia ke negara asing, perlu mendapat persetujuan daripada negara tuan rumah,” katanya. – MalaysiaGazette