KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menghubungi Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi keterangan sebagai saksi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut MCMC, siasatan tersebut melibatkan kandungan akaun TikTok yang mengaitkan beliau dengan dakwaan berhubung subsidi bersasar RON95.
“Fokus siasatan adalah bagi mengesahkan konteks kandungan yang disiarkan dan tidak melibatkan sebarang dakwaan atau pertuduhan terhadap beliau,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan MCMC menyiasat penafian Muhyiddin berhubung dakwaan mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Anwar dilaporkan berkata, beliau menerima laporan ada ahli Parlimen pembangkang mempertahankan hak warga asing dalam mendapat manfaat penyelarasan subsidi.
Sehubungan itu, Muhyiddin menerusi satu perkongsian di media sosial menafikan pernah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud mempertahankan hak warga asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Katanya, Perikatan Nasional (PN) konsisten sejak dahulu bahawa manfaat pelaksanaan subsidi harus diberikan keutamaan terhadap kepentingan rakyat.
Menurut MCMC, bagi melengkapkan siasatan, MCMC akan memanggil individu yang berkaitan sekiranya perlu.
Suruhanjaya tersebut menggesa semua pihak untuk tidak membuat spekulasi, serta memberi ruang kepada proses siasatan yang edang dijalankan secara bebas, berhemah dan professional. – MalaysiaGazette