IPOH – Seorang pengarah sebuah pasar mini didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual minyak masak melebihi harga kawalan, April lalu.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad, turut memerintahkan J Shanker, 43, menjalani hukuman penjara lima hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan agar wang jualan 47 botol minyak masak yang dirampas sebanyak RM485.85 itu dilucuthak kepada kerajaan melalui Pengawal.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu menjual dan menawarkan untuk menjual barangan harga terkawal iaitu minyak masak botol dua kilogram (kg) jenama Seri Murni selain mengikut harga yang ditentukan oleh Pengawal di bawah Seksyen 4, 5 dan 7 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Kesalahan itu dilakukan di Mini Market Desa Rishah Sdn. Bhd di Taman Klebang Ria, Chemor dalam daerah Kinta pada jam 12.30 tengah hari, 17 April 2025.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (b) Akta yang sama.
Ia memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya boleh dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), N. Shamani manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.
Mengikut fakta kes, pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah menjalankan pemeriksaan di lokasi dan mendapati minyak masak botol dua kg dijual selain mengikut harga yang ditentukan.
Minyak masak berkenaan didapati dijual pada harga RM13.90 melebihi harga runcit maksimum iaitu RM13.30 bagi kapasiti dua kg. – MG Perak
Artikel Berkaitan: